26 Episod Konflik Cinta 3 Segi Dalam Cinta Berkalung Duri di TV2
Konflik berlaku apabila si ayah dan si anak meminati wanita sama dalam diam. Si anak jatuh cinta pandang pertama setelah puas memujuk hati membawa diri bila ditinggalkan kekasih sebelum ini. Manakala si ayah pula tulus menyintai wanita itu setelah diamanahkan arwah isterinya supaya menikahi wanita itu yang begitu mulia perwatakannya.
Plot kisah menarik kasih sayang dan kekeluargaan ini diangkat menjadi jalan cerita sebuah drama bersiri 26 episod bertajuk Cinta Berkalung Duri yang telah pun menemui penonton mulai 29 April lalu, setiap Ahad, jam 9.00 malam di TV2.
Saksikan lakonan berkesan Dato’ Rahim Razali, Dato’ Jalaluddin Hassan, Janet khoo, Zulhuzaimi, Rizal Ayub, Anne Abdullah, Almy Nadia dan Aida Khaleda menghayati watak masing-masing yang berlatarkan kisah seorang wanita yang tinggi akhlaknya bernama Wani lakonan Puteri Sarah Liyana berdepan situasi menjadi rebutan dua lelaki yang begitu dekat dalam hidupnya.
Segalanya bermula apabila Shira yang disahkan mengidap sakit barah hati mula mencari calon isteri yang sesuai untuk suaminya, Arman. Dia dapat merasakan dirinya tidak dapat bertahan lama lalu dia berharap agar dapat menjodohkan Arman dengan wanita yang baik sekaligus menjadi ibu kepada anaknya yang masih kecil, Fifi.
Permintaan Shira amat berat untuk dilakukan oleh Wani namun dia kemudiannya menurut amanat terakhir wanita yang banyak membantunya itu. Sejak berada di rumah anak yatim lagi, Shira rajin melawat dan memberi perhatian terhadapnya.
Kepulangan Rustam dari luar negara mengundang konflik dalam keluarganya. Dia dihantar ke luar negara bukan untuk melanjutkan pelajaran sebaliknya dihantar berubat kerana dirinya yang hiper aktif sejak kecil. Keluarga Arman bertegas menghantar Rustam kononnya untuk memulihkan sikap Rustam seperti orang lain. Sebenarnya mereka kurang senang dengan kehadiran cucu mereka itu dalam rumah besar mereka. Shira yang tidak punyai pilihan lain hanya menurut walau pun berat hati.
Dalam keadaan sakit, Shira gembira bila Rustam mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Seisi keluarga begitu yakin yang Rustam sudah pulih dan sudah melupakan segala kenangan pahit yang dia lalui ketika putus cinta bersama kekasihnya dahulu. Tanpa diketahui, Rustam masih sakit dan masih menderita dalam diam.
Impian Rustam ingin memilki Wani akhirnya hancur berderai apabila Shira meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat yang mahu Wani mengahwini Arman. Fifi yang telahpun rapat dan manja dengan Wani gembira apabila Arman dan Wani akhirnya bersetuju untuk mendirikan rumahtangga.
Rustam menyimpan kekecewaan dan dendam dlam diam. Perkahwinan Wani dan Arman sedikitpun tidak melenyapkan rasa cintanya terhadap Wani walaupun kini Wani bakal menjadi ibu tirinya. Namun kebahagiaan tidak berpihak pada Wani apabila menjelang hari pernikahan Arman terlibat dalam kemalangan jalanraya dan disahkan lumpur separuh badannya.
Nasib malang yang menimpa Arman ditangisi oleh seisi keluarga kecuali Rustam yang melihat keadan Arman mampu memberinya peluang untuk kembali merebut Wani dari Arman. Dia menyangkakan Wani pasti akan meninggalkan Arman yang sudah hilang upaya. Sangkaan Rustam meleset sama sekali apabila melihat Wani terus setia menjaga Arman dan akhirnya selamat menjadi isteri Arman yang sah.
Dia begitu sabar dan setia menjaga dan melayani Arman. Kesetiaan Wani membuatkan Rustam semakin menganguminya. Cintanya terhadap Wani terus membuak buak hingga akhirnya menganggu kewarasan dia berfikir dan bertindak. Akibatnya Rustam sanggup menabur fitnah dan mengupah Jelita demi untuk memburukkan imej Arman di mata Wani.
Namun, desakan cinta telah menjadikan Rustam buta hati dan perasaan, dia lupa bahawa batasan agama menghalang dia dari memiliki Wani sekalipun Amran sudah tiada di dunia. Bisikan syaitan menjadikan Rustam hilang pertimbangan. Apakah yang berlaku terhadap mereka kemudiannya?