KISAH PENCINTA JALANAN DALAM DRAMA BERSIRI BUNGA MERAH PUNYA
Anda inginkan sebuah drama yang berlainan untuk ditonton? Pastikan anda setia mengikuti slot Aurora yang bersiaran setiap hari Khamis jam 8.30 malam di TV9 ini untuk pilihan drama menarik dan terbaik untuk tontonan anda. Selepas 6 Progresif melabuhkan tirainya, drama terbaru terbitan Suhan Movies iaitu Bunga Merah Punya bakal pastinya dapat menggamit memori dan meruntun perasaan anda.
Drama 13 episod arahan pengarah muda, Zulhuzaimy ini bermain dengan pelbagai emosi yang melibatkan percintaan, persahabatan dan kehidupan di mana ia menceritakan mengenai Bunga yang diamanatkan untuk mencari Merah yang melarikan diri ketika usianya 10 tahun oleh Tok Baen, penjaga mereka sejak kecil lagi.
Kisah mereka bermula apabila Merah yang dijaga oleh Tok Baen semenjak usia 3 tahun telah menemui seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh seseorang di depan rumahnya. Tok Baen mengasuh bayi perempuan itu dan diberinya nama Bunga. Kehadiran Bunga merubah semula kemurungan Merah menjadi ceria. Merah sangat menyayangi Bunga. Kedegilan Merah yang tidak mahu ke sekolah dan tidak mahu dimarahi lagi oleh Tok Baen telah menyebabkan Merah lari daripada rumah dan tidak pernah kembali. Dapatkan Bunga menunaikan amanat Tok Baen untuk mencari Merah?
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan drama Bunga Merah Punya kerana drama ini bakal menampilkan kelainan dari gaya penceritaan yang bakal menyentuh emosi dengan lakonan hebat pelakon utamanya iaitu Izzue Islam, Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi. Jangan lupa saksikan episod pertama Bunga Merah Punya yang akan mula menemui anda pada 21 Februari nanti pada setiap hari Khamis, 8.30 malam dalam seleksi drama menarik istimewa untuk anda di TV9!