BUNGA APRIL Apabila Cinta Menggugat Pertalian Darah…
Apa yang perlu dilakukan oleh si gadis yang tersepit di antara cinta dua jejaka yang berlainan niat? Antara Azman dan Johar, yang manakah menjadi pilihan hati April? Saksikan kisah suka duka dua beradik lelaki yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian dan taktik kotor daripada musuh lama keluarga yang nekad melihat mereka kecundang menerusi drama terbaru di slot Samarinda, BUNGA APRIL.
Disiarkan pada setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam, bermula 22 November ini, BUNGA APRIL adalah sebuah kisah cinta menggamit emosi dan penuh dramatik terbitan HNJ Pictures Sdn Bhd. Hasil nukilan dan arahan Along Kamaludin, drama BUNGA APRIL dijayakan oleh barisan pelakon hebat seperti Tasha Shilla, Shahz Jaszle, Zack X-Factor, Mustapha Kamal, Redzuan Hashim, Noniswara, Aida Aris dan Hanez Suraya.
BUNGA APRIL menyelami dunia korporat disebalik kemegahan syarikat Wangsa Holding, dimana ketokohan dan kewibawaan Tan Sri Azmi (Mustapha Kamal) diwarisi oleh anak kandungnya, Azman (Zack X-Factor). Terkenal dengan karisma yang tinggi, Azman dilihat sebagai individu yang paling layak untuk menerajui syarikat ayahnya suatu hari nanti. Kesungguhan Azman juga menjadi kebanggaan Puan Sri Hamidah (Noniswara), seorang ibu dan isteri kepada keluarga Tan Sri Azmi.
Berbanding Azman, Johar (Shahz Jazle) pula berbeza acuannya. Merupakan anak tiri Tan Sri Azmi hasil daripada perkahwinan kedua bersama Puan Sri Aishah (Aida Aris), Johar lebih selesa jika tidak bergelumang di dalam dunia korporat. Mewarisi sikap rendah diri dan keperibadian yang sederhana daripada ibunya, Johar sering menjadi rujukan dan pilihan kedua di dalam apa sahaja keputusan dan pilihan yang dibuat oleh Puan Sri Hamidah. Walaubagaimanapun, Tan Sri Azmi sedar bahawa kedua-dua anak lelakinya mempunyai kelebihan masing-masing, berdasarkan hubungan mereka yang cukup rapat, bagai isi dan kuku.
Langit tidak selamanya cerah, kejayaan dan kemegahan keluarga dan syarikat milik Tan Sri Azmi dicemburui dan menjadi dendam bagi Sophian (Redzuan Hashim), rakan lama Tan Sri Azmi. Turut memiliki sebuah syarikat yang dikenali sebagai Media Corp, dan syarikat tersebut hanyalah untuk menutup mata pihak berkuasa daripada menghidu kegiatan sebenar beliau sebagai seorang taikun kongsi gelap dan mempunyai ramai pengikut. April (Tasha Shilla), anak tunggal Sophian ternyata tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan bapanya untuk memperoleh kekayaan dan kejayaan. Sebagai tanda protes, April meninggalkan jejak langkah bapanya dan membuka sebuah kedai kecil menjual bunga.
Johar jatuh hati apabila terlihat kecantikan dan ciri-ciri ringkas yang terdapat pada April. Setelah beberapa minggu menyakat April, Johar memperkenalkan dirinya sebagai Junaidi atau ‘Jun’ dan hubungan mereka menjadi rapat dan akhirnya cinta berputik dan semakin mekar setiap hari. Disebabkan cinta, Johar tekad untuk memajukan diri dan langkah terbaik yang mampu dilakukannya bermula di Wangsa Holding. Pada masa yang sama, Sophian sudah tidak dapat membendung rasa geram dan cemburu dihatinya terhadap Tan Sri Azmi mengambil keputusan untuk mengugut kawan lamanya itu serta ingin mengahwinkan April dengan Azman sebagai jaminan ikatan pertalian di antara dua keluarga.
Demi maruah keluarga, Azman bersetuju. Pada mulanya, April mengamuk apabila mendapat tahu bahawa bapanya telah menerima pinangan untuk dirinya namun keadaan menjadi reda setelah dia mengetahui bahawa pinangan tersebut datang daripada keluarga Tan Sri Azmi. Tiba-tiba, keadaan kembali menjadi tegang apabila Puan Sri Hamidah membocorkan rahsia mengenai pinangan tersebut sebenarnya datang daripada Azman dan bukan ‘Jun’ iaitu Johar. Sangkaan April ternyata meleset dan dia mula memberontak.
Apakah kesudahan yang bakal terjadi kepada Tan Sri Azmi, Azman, Johar dan April? Mampukah Wangsa Holding diselamatkan daripada niat jahat Sophian? Jangan lupa untuk menyaksikan kesudahannya di dalam BUNGA APRIL yang bersiaran sebanyak 25 episod, pada setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam di slot Samarinda, hanya di TV3.