in , ,

Inspirasi dari Novel, Ini Sinopsis Drama Bersiri AYAHANDA Lakonan Jalil Hamid & Fikry Ibrahim

Inspirasi Sebuah Karya Allahyarham Aziz Haji Abdullah A.M.N. Cinta Luhur Dan Pengorbanan Seorang Ayah Yang Tidak Didendangkan dalam Drama Bersiri AYAHANDA.

Dekat tapi jauh… Situasi kini tidak mengizinkan sesetengah orang untuk berjumpa dengan ibu bapa mereka dan perasaan rindu yang semakin menebal juga mengusik jiwa masing-masing. Peminat drama Melayu pasti akan terkesan dengan lakonan mantap dua figura besar dalam industri tanah air iaitu Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud ataupun lebih mesra dengan panggilan Ogy dalam AYAHANDA, drama bersiri terbaharu di TV3 nanti. 

‘Ayahanda’, drama bersiri istimewa inspirasi daripada novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah A.M.N bakal bersua dengan penonton TV3 bermula 10 Julai 2021. Drama bersiri 13 episod ini akan bersiaran pada setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam.

Drama Adaptasi AYAHANDA Meruntun Jiwa & Penuh Konflik Keluarga

Drama bersiri terbitan Zeel Production Sdn. Bhd, ini diarahkan oleh Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dengan nukilan skrip oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan. Ia menampilkan barisan pelakon handalan tanah air seperti Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Fikry Ibrahim, Noorkhiriah, Shahz Jaszle, Rita Nadira, Sherry Ibrahim, Anuar Hamizan, Mimi Ernida, Hairi Safwan, Sobri Anuar dan ramai lagi. 

Untuk makluman, Allahyarham Azizi Hj Abdullah merupakan penulis tersohor, penerima Anugerah S.E.A Write Awards 1988, dikurnia pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agong dan Allahyarham jua merupakan penerima 7 kali Anugerah Hadiah Karya Sastera. Naskhah Allahyarham ini bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang seorang ayah kepada anak-anak serta kesetiaannya terhadap keagamaan.

Novel ini memaparkan kisah keluarga yang berlatarkan kampung di utara tanah air pada tahun 1980-an. Penceritaan Ayahanda disorot oleh Azizi melalui kaca mata seorang anak lelaki yang beradu keegoaan dengan seorang bapa yang hayatnya berusia 97 tahun. Melihat pada plot yang meruntun jiwa dan konflik keluarga yang sarat dengan pengajaran, syarikat penerbit Zeel Production Sdn. Bhd. telah melamar novel Ayahanda terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri.

Walaupun novel ini merupakan terbitan tahun 1997, namun tema dan jalan cerita yang dipaparkan masih dekat dengan realiti kehidupan kita. Penerapan nilai-nilai moral dalam kandungan cerita ini juga boleh dijadikan rujukan oleh para penonton untuk berusaha ke arah yang lebih baik. 

Drama Bersiri Ayahanda

Ayahanda mengisahkan tentang Haji Abdullah (Jalil Hamid), seorang Tok Imam, juru nikah dan mengajarkan kitab di surau yang berusia lebih daripada 100 tahun. Surau itu kemudian dibina semula setelah dilanda ribut yang hampir meragut nyawa Haji dan isterinya, Hajah Noriah (Fauziah Ahmad Daud) ketika itu. 

Haji Abdullah dilihat sebagai seorang imam tua yang degil dan mahu mempertahankan semua jawatannya di masjid kampungnya. Walaupun Haji Abdullah sudah tidak diterima oleh masyarakat kerana kaedah pengajaran dan kitabnya yang dianggap lapuk tetapi beliau tetap melunaskan tanggungjawabnya. Hanya Hajah Noriah yang masih setia dan sentiasa memberikan sokongan padu kepada suaminya. Di kampung, seorang imam baharu telah dilantik iaitu Ustaz Hamidi, 20-an dan lulusan Al-Azhar, Mesir. Jemaah pun semakin ramai di masjid. Haji Abdullah tercabar dan tetap mahu menjadi imam.

Drama Bersiri Ayahanda

Haji Abdullah dan Hajah Noriah mempunyai 4 orang anak iaitu Halimah (Noorkhiriah), Ramli (Shahz Jaszle), Ahmad (Hairi Safwan) dan Aziz (Fikry Ibrahim). Halimah, anak sulung yang tinggal di belakang rumah Haji sering diharapkan oleh adik-beradiknya untuk menjaga ibu bapa mereka. Halimah juga terpaksa bersabar dengan perangai suaminya, Mat Diah (Sobri Anuar) yang terlalu taksub dengan pertandingan suara burung. 

Ramli, anak kedua Haji Abdullah pula sibuk berulang-alik menghantar Piah (Nurmiziana Rosli), isterinya ke kampung asalnya kerana emaknya sakit. Manakala, Ahmad, anak ketiga yang mahu menambah pendapatan dengan mengusahakan kebun sayur di kaki bukit. Isteri Ahmad, Hasnah, telah meninggal dunia bersama anak ketiganya semasa bersalin. Hajah Noriah dan Halimah sentiasa cuba mencarikan jodoh baharu untuk Ahmad tetapi Ahmad belum bersedia. 

Aziz, anak bongsu Haji Abdullah bekerja sebagai juru teknik di sebuah kilang dan minat penulisan. Isterinya, Mazni (Rita Nadira) lebih mementingkan kesenangan diri dan mula mengambil kesempatan atas kesibukan suaminya yang mahu menjaga orang tuanya, anak mereka dan juga menyiapkan penulisannya. 

Drama Bersiri Ayahanda

Hj. Abdullah mahukan sokongan anak-anaknya untuk dia meneruskan tanggung jawabnya sebagai imam, namun semua anak-anaknya tidak berpihak kepadanya membuatkan Hj. Abdullah terasa hati. Aziz yang menjadi harapan Hj. Abdullah juga menentang hasrat ayahnya lebih-lebih lagi hubungan mereka pernah terpalit dengan sejarah lampau yang merenggangkan hubungan mereka berdua. Sikap degil dan ego Hj Abdullah menyebabkan dirinya dilanda sepi dan tiada siapa yang peduli.

Terleraikah kesepian hati seorang ayah dan dapatkan anak-anaknya memahaminya? Dapatkah anak-anak Haji Abdullah menebus kelemahan mereka yang sudah mengabaikan hati seorang ayah? Mengertikan mereka tentang pengorbanan seorang ayah? 

Drama bersiri meruntun jiwa ini juga diserikan dengan suara lagenda rock Malaysia, Dato’ Awie apabila single beliau berjudul Coretan Pilu dipilih menjadi runut bunyi untuk drama Ayahanda. Gabungan karyawan komposer dan penulis lirik muda iaitu Ikhwan Fatana, Wan Salleh dan Fedtri Yahya pastinya meruntun jiwa pendengar.

Watak Pelakon:

Jalil Hamid sebagai Haji Abdullah

Ogy Ahmad Daud sebagai Noriah

Fikry Ibrahim sebagai Aziz

Noorkhiriah sebagai Halimah

Shahz Jaszle sebagai Ramli

Hairi Safwan sebagai Ahmad

Sherry Ibrahim sebagai Aishah

Mimi Ernida sebagai Rahayu

Sobri Anuar sebagai Mat Diah

Rita Nadira sebagai Mazni

Drama Bersiri Ayahanda

Menerusi Twitter, rata-rata penonton beranggapan bahawa drama ini bakal membuatkan ramai yang beremosi, setanding dengan karya asalnya. Malah,bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga turut  dilihat tertunggu tunggu akan tayangan drama bersiri ini.

AYAHANDA
AYAHANDA
AYAHANDA

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama-drama popular di TV3 dan www.tonton.com.my Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. 

NASKAH AYAHANDA DARI KACA MATA NOVELIS

Plot cerita adaptasi ini dikisahkan melalui dua sudut pandang. Sudut pandang pertama memaparkan sikap seorang ayah berdasarkan tanggapan dan pandangan anak bongsunya yang begitu sukar untuk memahami apa-apa yang ada dalam hati degil ayahnya. Kedegilan seorang ayah yang tidak boleh ditegur dan tidak boleh menerima nasihat anak-anak. Disebabkan kedegilan itu, si ayah sentiasa berburuk sangka, berdendam dan mudah berasa marah. Dalam masa yang sama, timbul juga rasa bersalah dalam hati si ayah yang sebenarnya berkonflik dengan perasaannya sendiri.

NASKAH AYAHANDA DARI KACA MATA NOVELIS

Dari sudut pandang si ayah pula, dia sanggup berkorban apa-apa sahaja demi keluarga dan anak-anaknya. Susuk yang bernama ayah, sama ada dalam novel dan drama, digambarkan melalui watak lelaki tua yang sebenarnya kaya dengan kasih sayang. Walaupun sikapnya degil dan hatinya diselubungi rasa duka, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Allah memberkati mereka sekeluarga. Dia juga jenis ayah yang tidak pandai menunjukkan rasa dengan luahan kata-kata. Isi hatinya hanya ditunjukkan melalui perbuatan dengan harapan anak-anaknya memahami dirinya. Hakikatnya, perasaan seorang ayah itu sukar difahami sekalipun digali sedalamnya oleh anak-anak sendiri. Walaupun anak lelaki dalam Ayahanda cuba untuk memahami perkara sebenar dalam hati seorang lelaki tua, namun semakin dia cuba memahaminya, fikirannya sendiri menjadi semakin rumit. Konflik inilah yang menjadi kekuatan novel dan adaptasi drama ini.

Waris penulis novel Ayahanda, Anita, anak bongsu Aziz Haji Abdullah, semasa ditemu bual oleh pihak DBP menyatakan, cerita tentang ayah yang terdapat dalam novel Ayahanda sebenarnya ialah kisah ayah Azizi sendiri. Menurut Anita, “Azizi mengolah kisah ayahnya sendiri dan bagaimana mereka sebagai anak-anak yang kerap membangkang apa-apa yang ayah mereka lakukan semasa hayatnya.” Tambah Anita, konflik dalam Ayahanda ialah realiti yang berlaku dalam sesebuah keluarga, termasuk keluarga Azizi, yang menunjukkan setiap yang bergelar ayah itu memang ada sikap dan egonya sendiri, sama ada disenangi atau tidak disukai oleh anak-anaknya.

Sememangnya, Ayahanda sebuah karya yang sarat dengan tema kekeluargaan dan juga elemen agama Islam yang menjadi tunjang penceritaan. Kisahnya digarap dengan penuh penghayatan sehingga pembaca dapat merasai emosi setiap watak. Setelah diadaptasi dalam bentuk drama, sudah pasti penonton tidak dapat mengelak untuk berasa simpati dengan perjuangan ayah yang walaupun sudah di hujung usia tetapi masih mengekalkan tugasnya sebagai seorang imam tua dan menghargai ilmu agama. Barisan pelakon yang mantap dalam drama Ayahanda sudah tentu memberikan nyawa kepada watak-watak yang selama ini hanya dibaca dalam novel yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2016. Boleh dikatakan, naskhah Ayahanda membawa misi sosial yang amat disarankan untuk dibaca dan ditonton oleh insan yang bergelar anak.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kempen Bersamamu #KitaJagaKita, Radio Media Prima Terima Luahan Yang Terkesan

Bahiyya Haneesa Beri Nafas Unik & Segar Menerusi Lagu Ikonik KAU ILHAMKU 2021