DRAMA BERSIRI ARAB : PAS AZ BARAN (AFTER THE RAIN), SETIAP HARI SEPANJANG RAMADAN, JAM 4.30 PAGI DI TV2
Sepanjang Ramadan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan kelainan dalam program siarannya apabila memilih untuk menghidangkan drama bersiri Arab, Pas Az Baran disiarkan setiap hari mulai 17 Ogos lalu, Isnin hingga Ahad, jam 4.30 pagi menerusi TV2 untuk tontonan pengikut setia salurannya.
Disiarkan sepanjang 37 episod, Pas Az Baran pastinya menjadi pilihan penonton yang meluangkan masa bersahur bersama keluarga tersayang sambil menonton drama bersiri yang sarat dengan pengajaran berguna ini.
Pas Az Baran cuba menyoroti kisah dilalui Marzieh yang baru bergelar yatim piatu bersama seorang adik lelakinya setelah kematian kedua ibu bapanya yang terlibat dalam kemalangan ngeri jalan raya di Iran. Justeru mereka adik beradik cuba untuk membongkar kebenaran di sebalik kemalangan ngeri itu yang dipercayai ada dalang di sebalik kejadian itu.
Ketika itu Marzieh menjumpai sebuah diari lama milik ibu mereka yang menceritakan satu persatu peristiwa dilalui nenek mereka, Shahrbanoo ketika mudanya.
Plot drama ini bermula dengan mengimbas kembali perjalanan hidup dilalui Shahrbanoo ketika zaman mudanya. Dia membesar sebagai seorang gadis yang tinggal di kawasan pendalaman di kampung yang ketua kampungnya dikenali sebagai Arbab. Arbab tinggal bersama isterinya, Khanombas yang disahkan tidak mampu melahirkan zuriat.
Khanombas yang bimbangkan kedudukan dan masa depannya mula memikirkan untuk mencarikan jodoh lain buat suaminya itu. Pada masa sama Khanombas mahu memastikan calon madunya mampu memberikan zuriat yang dapat mewarisi harta suaminya kelak.
Ketika itu Khanombas yang terdesak telah memilih Shahrbanoo sebagai madunya dan memberikan zuriat kepada keluarga mereka. Mereka keduanya berhubungan baik dan tinggal aman damai sebagai isteri Arbab hinggalah Sharbanoo selamat melahirkan seorang anak.
Begitu pun kerukunan rumahtangga mereka kurang disenangi Farrokh, abang Khanombas yang awal-awal lagi bercita-cita mahu merampas harta kekayaan dimiliki adik iparnya itu. Dia lalu berkonspirasi dengan bapa saudara Shahrbanoo, Gholam yang juga berniat jahat mahu merampas kekayaan keluarga itu dengan mudah.
Gholam akhirnya berjaya menculik Shahrbanoo dan anaknya yang kemudiannya disembunyikan di sebuah pondok buruk di hutan. Pada masa sama mereka mewujudkan khabar angin bahawa Shahrbanoo sengaja mahu melarikan diri dari rumah. Malang bagi Shahrbanoo apabila dilepaskan oleh Gholam, suaminya mempercayai khabar angin itu dan mahu menghukumnya.
Mujur Khanombas memahami situasi madunya itu dan membantu Shahrbanoo melarikan diri bersama anaknya. Begitu pun suaminya berjaya menemui mereka. Lalu apakah yang terjadi seterusnya kepada Shahrbanoo dan anaknya? Apakah kaitan antara peristiwa lama itu dengan penemuan Marzieh terhadap dalang di sebalik kematian ayah dan ibunya yang dipercayai terlibat dalam kemalangan yang dirancang pihak tertentu? Pas Az Baran dibintangi pelakon-pelakon seperti Mahmoud Pakniat, Jamileh Sheikhi, Katayoon Riyahi, Marjan Mohtasham dan Kiumars Malekmoti’ee.