Menampilkan kemunculan pelakon popular Zizan Nin, Adeline Tsen, Jue Aziz, Sabhi Sadhi dan kemunculan muka baru Daniella Sya juga pelakon Norseha, kelainan cuba ditonjolkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi sebuah drama bersiri terbaharu bertajuk “Antara Laut China Selatan” yang memilih lokasi utamanya di Kundasang, Sabah.
Disiarkan mengisi slot Selekta Prima yang terdahulu menyiarkan drama popular bertajuk Cikgu Kemisah Kirby, drama 26 episod ini bakal menemui penonton mulai 25 Disember depan, setiap Rabu, pukul 9.00 malam di TV2 sarat dengan plot konflik mengaitkan kisah persabahatan, percintaan dan kekeluargaan. Bukan sekdar itu sahaja, drama menarik kisah cinta pemuda Semenanjung dengan gadis Iban yang terhalang ini pastinya menarik dikongsi sama seisi keluarga.
[pullquote align=”right”]Cinta Gadis Iban Lakonan Sabhi Sadhi, Jue Aziz dan Adeline Tsen Dalam Drama Bersiri Antara Laut China Selatan Di TV2 mulai 25 Disember depan, setiap Rabu, pukul 9.00 malam[/pullquote]
Saksikan babak-babak menarik mengangkat kisah persahabatan yang telah terbina antara Wan Man dengan Mayong sejak kanak-kanak lagi. Begitu pun kerana krisis kewangan, Mayong terpaksa meninggalkan Wan Man dengan mengikut keluarga berpindah tinggal kembali di Kundasang, Sabah tanah tumpah kelahirannya.
Kini 18 tahun telah berlalu. Wan Man sukar melupakan kisah silamnya dengan Mayong. Dia kini bekerja meniaga secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupannya dengan ibunya. Pada masa sama Wan Man miliki seorang teman baik, Siti Zubaidah. Gadis itu banyak membantunya malah Siti Zubaidah sendiri sedar Wan Man masih mengingati Mayong hingga saat itu.
Dalam diam sebenarnya Siti Zubaidah menyimpan perasaan terhadap Wan Man. Namun segalanya berjaya disembunyikan daripada pengetahuan pemuda itu. Disebabkan terlalu setia terhadap Mayong, Wan Man tidak pernah menyukai gadis lain selain daripada gadis Sabah itu.
Satu hari temannya, Zaini memberikan cadangan supaya Wan Man mencari semula Mayong di internet. Wan Man begitu gembira kerana pencariannnya begitu mudah. Dia berjaya menjejaki Mayong lantas mula menghantar email kepada Mayong.
Email Wan Man sampai ke Mayong. Mayong begitu gembira bila membacanya kerana dia juga sebenarnya merindui pemuda itu. Hubungan cinta mula terbina antara mereka. Wan Man terpesona dengan kejelitaan Mayong sekarang. Begitu pun hakikatnya Mayong telah menukar identiti dirinya dengan Lisa, adik perempuannya. Mayong takut Wan Man tidak dapat menerima dirinya barunya kini yang cacat kedua-dua belah kaki akibat kemalangan jalan raya. Lisa yang pada mulanya menolah kemudiannya bersetuju dengan cadangan kakaknya itu. Entah kenapa dia pula dalam diam menaruh hati terhadap Wan Man walaupun belum pernah bersua muka.
Kerana rasa cintanya Wan Man sanggup mengumpul wang bagi menampung perbelanjaannya ke Sabah mahu menemui kekasih hatinya itu. Keterujaan Wan Man itu dalam diam membakar perasaan cinta yang bersarang dalam hati Siti Zubaidah. Namun dia tidak dapat melakukan apa-apa takut Wan Man salah faham.
Wan Man akhirnya tiba juga di Sabah. Dia terlebih dahulu menghubungi Mayong dan menyatakan hasratnya mahu bertemu Mayong. Mayong mula gelisah tetapi dia terpaksa meminta Lisa berlakon menjadi ‘dirinya’. Lisa pula jatuh cinta dengan Wan Man. Kedatangan Wan Man disambut dengan meriah oleh Mayong.
Sepanjang masa Wan Man menghabiskan masa dengan Lisa. Namun Wan Man dapat merasakan kejanggalan antara mereka. Mayong di depannya berbeza dengan Mayong yang pernah dikenalinya. Begitu pun perasaan tersebut hanya disembunyikan kerana tidak mahu Mayong terasa hati. Lisa pada masa sama memperkenalkan Mayong yang sebenar sebagai saudara terdekatnya.
Konflik berlaku bila rahsia mereka terbongkar. Wan Man terkejut namun menerima dengan hati terbuka kekurangan Mayong yang sebenar dan hubungan mereka jadi rapat berbanding dengan Mayong jelmaan oleh Lisa.
Konflik berlaku bila muncul sepupu Mayong iaitu Balai yang pulang ke kampung mahu mengahwini Mayong tanpa mengetahui kehadiran Wan Man. Lisa kemudiannya berkomplot dengan Balai mahu mengusir Wan Man sekaligus menyatukan Balai dengan Mayong dan Lisa dapat menjalin hubungan semula dengan Wan Man.
Mereka menimbulkan fitnah yang membuatkan orang di rumah panjang memandang serong terhadap Wan Man. Wan Man kecewa lalu memutuskan pulang ke semenanjung. Di semenanjung, Wan Man telah dipaksa ibunya supaya menikahi Siti Zubaidah yang banyak membantunya semasa ketiadaan Wan Man. Namun Wan Man bertegas. Cintanya hanya untuk Mayong seorang.
Simpati dengan Wan Man, Siti Zubaidah nekad ke Sabah mahu menyatukan teman baiknya itu dengan Mayong. Tetapi dia kemudiannya dikejutkan dengan berita pernikahan yang bakal berlangsung antara Mayong dengan Balai.
Berjayakah Siti Zubaidah menghalang pernikahan paksa itu terjadi? Masihkah ada kesempatan bagi Lisa membetulkan keadaan di mana dia telah menganiayai kakaknya yang dipaksa mengahwini Balai untuk merebut harta yang ditinggalkan keluarganya? Saksikan kesudahan drama rantai kisah persahabatan, percintaan dan kekeluargaan ini hanya di TV2.