Kisah Mahsuri begitu sinonim dengan Langkawi. Fitnah yang dilemparkan kepada Mahsuri kononnya telah bermain kayu tiga dengan seorang perantau bernama Deraman hingga saat kematiannya dia bersumpah keramat hingga 7 keturunan segar di ingatan kita.
Begitu pun banyak lagi kisah yang dapat dikaitkan dengan pulau lagenda ini termasuklah kisah Gedembai atau Kelembai, makhluk halus dianggap memiliki kuasa sakti dalam menyumpah mahluk hidup menjadi batu, kisah asal usul Gua Bukit Putih, Buaya Putih, Mat Cincang, Mat Raya dan Mat Sawak, Gua Langsuir dan lagenda Mahsuri sendiri.
Mengisi slot Galeri Famili, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 6 Januari depan, setiap Isnin hingga Rabu, pukul 2.30 petang di TV2 menyiarkan sebuah drama bersiri 13 episod mengaitkan sejarah Langkawi bertajuk Lagenda Langkawi yang dibintangi pelakon terkenal Zul Ariffin, Acong Sweetchild dan Mas Muhaini selain turut dibantu oleh Rahhim Omar, Bil Azali dan Chomatt Samad.
Dalam episod pengenalan, menceritakan tentang Amin yang diminta menulis skrip drama lagenda Langkawi oleh seorang penerbit drama/filem. Usaha Amin untuk menulis cerita lagenda melalui jalan buntu walaupun dia telah membuat beberapa rujukan dari buku –buku dan website internet. Amin seperti mengalami krisis ‘Writers Block’.
Tanpa Amin sedar sebahagian dalam dirinya seperti terpanggil untuk ke Langkawi. Bunyi paluan gendang silat seperti bersatu dengan hatinya. Apatah lagi Amin mula mendapat mimpi-mimpi pelik secara ‘imbasan dan abstrak’. Akhirnya Amin mengambil keputusan ke Langkawi. Seorang rakan bernama Jai, penduduk Langkawi telah sedia membantunya.
Di Langkawi sebaik kakinya menjejak tanah sumpahan itu, Amin terlihat seorang gadis Melayu yang cantik. Hatinya tertanya-tanya untuk mengenali gadis tersebut tetapi sekelip mata gadis tersebut hilang.
Gedembai(Kelembai) adalah makhluk halus yang mempunyai kuasa sakti. Kesaktiannya boleh berubah bentuk dan menyumpah sesiapa atau apa sahaja hidupan menjadi batu. Cerita Gedembai wujud dalam kebanyakan Mitos lagenda langkawi.
Di rumah penginapan, Amin mula membuat kajiannya. Pada malamnya sewaktu hampir terlelap selepas berkerja, Amin mendengar suara seorang perempuan. Suara yang lunak itu seperti memukaunya. Amin mencari-cari arah suara tetapi tiada, sebaliknya satu tiupan angin menerjah ke kamarnya dan sehelai kertas kajiannya tertajuk Gedembai melayang-layang seperti menari-nari dan jatuh di kaki Amin. Kejadian pelik itu menarik perhatiannya. Amin mula mengkaji cerita-cerita Gedembai. Dari situ bermulalah cerita alam Legenda berkisahkan ‘Siapa itu Gedembai dan kehebatannya’
Kembali pada masa sekarang, Amin dibawa oleh Jai ke sekitar Langkawi. Disatu tempat Amin menyaksikan satu pergaduhan satu pasangan kekasih. Kekasih lelaki tersebut memarahi dan menyumpah kekasihnya. Gelagat perempuan itu persis watak Gedembai.
Kemudiannya diteruskan dengan kisah Mat Raya pemuda yang tampan dan rajin. Suatu hari padinya di musnahkan beberapa ekor binatang berupa khinzir hitan dan putih. Mat meminta bantuan gurunya. Dia diberi sebilah lembing bermata emas untuk membunuh khinzir itu. Malangnya mata lembing patah dan terbenam dalam peha khinzir. Mat kemudian didatangi rombongan istana memintanya mengubat seorang puteri. Tanpa pengetahuan Mat Raya, puteri itulah jelmaan binatang Khinzir. Selepas berjaya mengubati puteri. Mat ditipu pula puteri jelmaan tersebut.
Pada masa sekarang Amin dan Jai berkenalan dengan Adira yang mengadu masaalah keluarga. Adira meminta bantuan Jai sebanyak lima ribu ringgit untuk mengubat abangnya. Jai yang terpaut dengan Adira termakan tipu muslihat Adira. Akhirnya Jai menyesal.
Seterusnya kisah Legenda Telani dan Telanai, seorang pahlawan dan dayang istana telah terlanjur. Telani yang telah mengandung anak Telanai dimurkai Raja. Dia dibuang ke Pulau Dayang Bunting. Apabila Telanai kembali dari perbatasan, dia mengamuk kerana hal tersebut. Telanai juga di buang ke Pulau Dayang Bunting. Apabila Gedembai marah kerana Telanai tidak menyukainya, Gedembai menyumpah Telanai menjadi pulau. Manakala Telani di sumpah menjadi batu. Anak kecil mereka pula menukar dirinya menjadi buaya putih.
Amin ke Taman Buaya dan berjumpa seorang penjaga buaya bernama Idrus. Idrus mengalami masalah anak perempuannya yang liar. Satu hari Nina hampir menjadi mangsa penjenayah. Amin dan Jai sempat menyelamatkannya. Nina mulai sedar dan mahu berubah.
Saksikan juga kisah pergaduhan antara dua perguruan, Mat Cincang dengan Mat Raya telah menyebabkan banyak pertumpahan darah. Masing-masing ego dan tidak mahu mengalah walaupun dinasihati Mat Sawak yang baik. Kemuncak pertarungan antara Mat Cincang dengan Mat Raya adalah sewaktu perkahwinan anak-anak mereka, Lading dan Melor yang saling bertaut kasih. Kerana pertarungan tersebut, Gedembai muncul dan menyumpah mereka menjadi gunung dan bukit.
Masa sekarang, Amin dan Jai terserempak dengan tiga lelaki pencari harta karun. Tiga lelaki tersebut menyangkakan Amin cuba sabotaj kerja mereka lalu menculik Amin. Jai yang menyaksikan kejadian tersebut dengan bantuan Polis berjaya memberkas mereka sekali gus menyelamatkan Amin. Berlaku pergaduhan antara tiga lelaki tersebut yang ego saling menyalahkan satu sama lain.
Tiga ekor Langsuir sering kali menjadikan nelayan-nelayan yang menangkap ikan atau lalu berhampiran gua mereka sebagai mangsa. Nelayan tersebut akan dipukau dengan kecantikan dan lagu-lagu merdu. Apabila terpukau nelayan-nelayan itu akan cuba mendekati Langsuir tanpa menyedari bakal dijadikan makanan langsuir. Kehadiran seorang nelayan pekak berhampiran gua Langsuir langsung telah menakutkan mereka kerana nelayan itu tidak termakan pukauan. Akhirnya Langsuir meninggalkan gua itu kerana menyangka ada manusia yang lebih hebat dari mereka. Itulah mengikut cerita Lagenda Gua Langsuir.
Amin ke gua Langsuir bersama Jai. Dalam perjalanan berlaku kemalangan mereka jatuh ke laut dan hanyut. Seorang nelayan menyelamatkan Amin. Amin menceritakan apa terjadi dan mahu ke gua lagi untuk menyelamatkan Jai kerana yakin Jai mungkin ditangkap Langsuir. Dia kembali ke rumah penginapan, tanpa mengetahui langsuir telah sedia menunggunya. Saat Langsuir mahu membahamnya Amin menjerit. Dia rupanya bermimpi.
Lagenda Mahsuri bermula apabila ayahnya Pandak Maya menjumpai kerak nasi di bendang. Kerak nasi itu dimakan Isterinya, maka lahirlah Mahsuri. Mahsuri membesar sebagai seorang gadis yang cantik. Datuk Kerma cuba memperisterikan Mahsuri tetapi dihalang isterinya Mahura. Mahura mencadangkan Mat Deris anak terunanya dijodohkan dengan Mahsuri. Iri hatinya Mahura sehingga dia sanggup memfitnah Mahsuri kononnya telah bermain kayu tiga dengan seorang perantau bernama Deraman. Disaat kematian Mahsuri, sumpah keramat telah dilafazkan hingga 7 keturunan.
Masa sekarang, fitnah seumpama rupanya masih berlaku. Ayu gadis yang sering terserempak dengan Amin dan akhirnya menjadi kawan turut terkena fitnah serupa. Bekas tunang Ayu, Azam mahu menyambung kembali hubungan mereka tetapi ditolak oleh Ayu. Akibatnya ayu di fitnah. Amin sebagai seorang lelaki yang perihatin mengambil insiatif membantu menjelaskan kekalutan tersebut kepada keluarga Ayu.
Saksikan 13 episod penuh misteri ini hanya di TV2.