in ,

Drama BERGANTI HATI Lakonan Eira Syazira

Demi kasih sayang kepada anak saudaranya, Idayu, seorang adik bernama Suraya sanggup berkahwin dengan abang iparnya, Hisham setelah abang iparnya menceraikan kakaknya, Mastura yang hilang ingatan setelah terlibat dalam kemalangan. Bagaimanapun lima tahun kemudian, ingatan kakaknya kembali pulih.

Mengetengahkan pelakon Zamarul Hisyam, Jasmin Hamid, Eira Syazira dan Amar Asyraff, kisah kekeluargaan yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita bertajuk “Berganti Hati” pada 1 September ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Citra di TV2.

Ikuti kisah perkahwinan Hisyam dan Mastura yang amat bahagia dan mereka dikurniakan anak, Idayu. Dalam perjalanan hendak meraikan hari lahir Idayu, Hisyam dan Mastura terbabit dalam kemalangan. Mastura cedera parah di kepala menyebabkan fikirannya terganggu serta menghadapi kemurungan. Adakalanya Mastura gagal mengawal emosi dan bertindak ganas. Justeru Mastura terpaksa dirawat di wad psikiatri.

Sepanjang menjalani rawatan, Idayu dijaga oleh Suraya, adik Mastura. Hubungan mereka begitu rapat hingga Idayu memanggil Suraya ibu. Sementelahan Idayu menjadi fobia akibat kemalangan tersebut hingga memerlukan Hisyam dan Suraya menemankannya waktu tidur.

Sulaiman, ayah kepada Mastura dan Suraya begitu bersimpati dengan Idayu. Dia tiada pilihan lain akhirnya memaksa Hisyam menceraikan Mastura dan mengahwini Suraya sedangkan Suraya sudah mempunyai kekasih bernama Iskandar.

Suraya berkahwin dengan Hisyam. Apabila keadaan Mastura agak stabil dan dibenarkan keluar daripada wad psikiatri, Suraya membawanya pulang ke rumah. Namun kehadiran Mastura menimbulkan ketakutan Idayu dan ini menyebabkan hubungan mereka renggang.

Lima tahun kemudian, ketika Iskandar yang bertugas sebagai doktor merawat Mastura, Iskandar mendapati pesakitnya itu memberikan perkembangan positif apabila Mastura mengenalinya dan bertanya bila dia akan berkahwin dengan Suraya.

Perkembangan terbaru Mastura menimbulkan konflik kepada Sulaiman, Hisyam dan Suraya. Mastura yang telah kembali ke rumah seringkali dibayangi kisah silamnya sebelum kemalangan. Dia masih menganggap Hisyam suaminya serta sesekali keliru apabila melihat Idayu yang telah berusia 9 tahun rapat dengan Suraya.

Mastura merasakan Suraya cuba merampas kasih sayangnya terhadap Idayu dan seringkali mendesak Idayu supaya berada bersamanya tanpa menyedari tindakannya itu menyebabkan anaknya itu semakin cuba menjauhinya.

Suraya mendesak Hisyam melepaskan dia agar membolehkan Hisyam berkahwin semula dengan Mastura. Hisyam pula serba salah kerana talak tidak bolah dipermainkan. Sulaiman pula rasa bersalah dengan tindakan yang diambilnya dulu.

Mastura kebingungan dengan situasi yang dirasakannya banyak berubah. Dia kembali mengalami tekanan. Namun sebaliknya Mastura menyembunyikan rahsia ingatannya sudah kembali pulih demi kebahagiaan semua. Apakah kesudahannya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Stacy Bakal Perform Opening Act di MTV World Stage 2015

Peraduan Tayangan Menonton Filem THE VISIT