Drama adaptasi novel popular Badai Semalam karya sasterawan terkenal Khadijah Hashim akhirnya menemui penonton setia saluran Okey dan platform digital RTMKlik sejak 8 April lalu. Drama penuh inspirasi ini merupakan arahan pengarah berbakat besar, Osman Ali, yang terkenal dengan karya-karya hebatnya seperti “Ombak Rindu” dan “Jwanita”.
Menampilkan gandingan pelakon muda berbakat besar seperti Sweet Qismina sebagai watak utama Mazni, disokong hebat oleh Adam Lee yang membawa watak Zaki serta Halim Radzi sebagai Karim, drama ini menjanjikan satu perjalanan kisah yang penuh dramatik dan sarat dengan pengajaran hidup.
Mazni, seorang gadis yang dilahirkan di Malaysia tetapi berdepan konflik kerana tidak mendapat taraf warganegara, menjadi inti utama kisah ini. Ibunya, Bibah, yang telah lama berkhidmat sebagai pembantu rumah kepada keluarga Tuan Harris dan Puan Rohana, membesarkan Mazni seorang diri setelah kematian suaminya, Idris. Cabaran hidup Mazni semakin rumit apabila dia membesar dalam bayang-bayang ketidakpastian akibat status kewarganegaraannya.
Watak Zaki yang dibawakan oleh Adam Lee pula menggambarkan sahabat setia yang sentiasa ada di sisi Mazni sejak kecil. Hubungan rapat mereka bukan sahaja dipenuhi keikhlasan, malah Zaki berjanji membantu Mazni untuk menyelesaikan isu kewarganegaraannya. Kesungguhan Mazni yang gigih menyambung pelajaran sambil bekerja separuh masa menjadi sumber inspirasi kepada penonton yang mengikuti kisah ini.
Dalam pada sibuk mengejar cita-cita, Mazni dan Zaki tidak lupa untuk berbakti kepada masyarakat. Mereka membuka kelas untuk membantu anak-anak gelandangan seperti Zuhal dan Angela di sekitar Kuala Lumpur. Malangnya, usaha murni mereka diuji dengan pelbagai tragedi apabila Zuhal dipenjarakan kerana membunuh ayahnya yang ganas, manakala Angela pula menjadi mangsa sindiket pengemis hingga matanya dibutakan secara kejam.
Cerita semakin dramatik apabila hubungan Mazni dengan Zaki tergugat dengan kehadiran Karim, seorang jurutera muda yang juga anak kepada majikan Bibah. Karim yang terkenal dengan gaya hidup bebas dan sering berfoya-foya jatuh hati kepada kelembutan dan ketabahan Mazni. Mazni akhirnya menerima lamaran Karim atas dasar cinta dan penghargaan terhadap perhatian Karim.
Namun perkahwinan Mazni dan Karim tidak disenangi oleh ibu Karim, Puan Rohana, yang malu dengan status Mazni sebagai anak orang gaji. Mazni juga difitnah hamil luar nikah, menyebabkan pasangan ini dihalau dari rumah keluarga Karim. Kebahagiaan mereka semakin tergugat dengan munculnya Azizah, bekas kekasih Karim, yang menabur fitnah demi menghancurkan rumah tangga mereka. Konflik bertambah parah apabila Karim kembali ke perangai lamanya akibat pengaruh rakan-rakan negatif, sehingga sanggup memukul Mazni.
Tragedi demi tragedi menimpa Mazni apabila Karim meninggal dunia akibat kemalangan setelah gagal mengawal emosinya. Dalam situasi yang penuh kesedihan itu, Zaki kembali menjadi penyelamat dan sahabat sejati. Beliau membantu Mazni merealisasikan impian dengan membina sebuah pondok kecil bagi anak-anak gelandangan untuk menimba ilmu.
Mazni yang semakin matang membuat keputusan besar untuk meneruskan pengajian ke luar negara bagi mengejar cita-citanya. Dalam tempoh tersebut, dia tidak terus menerima cinta Zaki, memberi ruang kepada dirinya untuk pulih sepenuhnya daripada trauma lalu dan meneroka potensi diri.
Apa Kata Budiey?
Drama ini bukan sahaja mengangkat isu sosial yang amat relevan, malah memberi inspirasi dan pengajaran tentang kekuatan seorang wanita dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. “Badai Semalam” adalah kisah yang patut ditonton oleh semua lapisan masyarakat kerana menyentuh soal kewarganegaraan, perjuangan sosial, dan kekuatan jiwa manusia dalam menghadapi ujian hidup. Cadangan Budiey, pastikan anda tidak ketinggalan menonton drama penuh inspirasi ini yang pastinya akan menyentuh jiwa dan memberi kesedaran mendalam mengenai isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling kita.