AYU TIDAK MANIS KONGSI KISAH REMAJA PEREMPUAN TERUJA BERMAIN BOLA SEPAK DI TV1
Sukan bola sepak sinonim dengan budak lelaki namun apakah yang terjadi sekiranya ada remaja perempuan yang begitu teruja terhadap sukan yang dimonopoli kaum lelaki itu. Pastinya situasi di luar kebiasaan itu bakal menimbulkan keadaan yang sukar diduga terutama melibatkan penerimaan keluarga dan orang sekeliling.
Dalam kemeriahan sambutan Piala Dunia yang diraikan seluruh dunia mulai 11 Jun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie menarik Ayu Tidak Manis mengisi Slot Pentas 1 pada 12 Jun 2010 (Ahad), jam 2.05 petang di TV1 yang berkongsi kisah watak gadis bernama Ayyu Qadeeja yang teruja dengan sukan bola sepak berbanding teman-teman sebayanya yang lebih meminati aktiviti kewanitaan seperti mengemas, memasak, membuat gubahan dan sebagainya.
Dibintangi berisan pelakon terkenal sepertib Marissa Yasmin, Zamarul Hisham, Fatin Nur Afifah, Memey Suhaiza dan Shafie Naswip, drama yang sesuai ditonton seisi keluarga terutama pada musim cuti sekolah ini bermula dengan memperkenalkan babak dimana Ayyu Qadeeja, nama yang cukup manis dan indah diberikan oleh Sariah Desa, ibu Ayyu yang cukup terkenal dengan jolokan wanita Melayu Terakhir. Ayyu amat rapat dengan bapanya Nurdin Alias yang sebenarnya amat mengharapkan kehadiran anak lelaki selepas memiliki 2 orang anak perempuan sebelum itu, Suraya dan Ameera.
Nurdin amat meminati sukan bola sepak. Apabila usia Ayyu 5 tahun, Nurdin telah mula membawa Ayyu ke stadium atau sesekali ke padang menyaksikannya bermain bersama kawan-kawan. Kecenderungan Ayyu dalam dunia bola sepak dan dunia lelaki mula ketara apabila Ayyu masuk ke sekolah menengah. Rakan-rakan baiknya lebih ramai di kalangan lelaki berbanding perempuan. Apabila ada kelapangan Ayyu lebih suka menghabiskan masa bermain bola sepak dengan mereka.
Kecenderungan Ayyu bermain bola sepak mencetuskan satu idea kepada pihak sekolah untuk menubuhkan pasukan bola sepak wanita. Ayyu begitu gembira apatahlagi Nurdin tidak menghalang sebaliknya berjanji mengajar Ayyu menjadi pemain bola sepak yang baik. Begitu pun apabila hasrat Ayyu untuk menyertai pasukan bola sepak wanita sampai ke pengetahuan Sariah, teruk Ayyu dimarahi dan dileteri oleh ibunya.
Dalam diam Ayyu teruskan hasrat mewakili pasukan bolasepak. Dalam diam juga Nurdin melatih Ayyu dan membelikan kelengkapan pakaian sukan Ayyu. Dan sebenarnya dalam diam seorang rakan Ayyu bernama Danish begitu tertarik dengan sikap lepas dan jujur Ayyu. Danish, seorang pelajar pintar yang pendiam lebih suka menyendiri dan menyembunyikan perasaan sukanya terhadap Ayyu. Danish tidak aktif dalam sukan tetapi dia meminati bolasepak. Setiap petang dia akan melihat Ayyu berlatih dengan kawan-kawan lelakinya yang lain. Sesekali Danish akan menyapa tetapi Ayyu yang nampak kasar hanya membalas seadanya.
Ayyu lebih rapat dengan Bejo, pemain tengah bola sepak lelaki yang aktif dan kacak. Kehadiran Bejo menjadi tarikan pelajar perempuan untuk menyertai pasukan bolasepak perempuan. Ayyu sedar dia diminati oleh Danish tetapi Ayyu tidak tertarik padanya yang nampak ‘lembik’.
Sariah tidak mengizinkan Ayyu bermain bola sepak. Sariah mengugut akan pergi ke sekolah dan pastikan Ayyu tidak masuk dalam senarai pemain bolasepak perempuan. Ayyu amat sedih dengan peraturan dan paksaan ibunya. Hatinya memberontak walaupun suara bantahan tidak terkeluar dari mulutnya.
Lalu bagaimanakah kesudahannya? Masihkah ada peluang bagi Ayyu untuk meneruskan minatnya terhadap sukan bola sepak? Adakah di penghujung plot cerita minatanya itu direstui oleh ibunya? Di samping menyaksikan perlawanan bola sepak, pastikan anda turut meluangkan masa menonton drama menarik Ayu Tidak Manis pada 12 Jun 2010 (Ahad), jam 2.05 petang hanya di TV1.