BUAH TANGAN TERBARU AHMAD IDHAM
BAKAL RIUHKAN SLOT AKSI TV3!
Ingin melihat Kamal Adli beraksi dengan motor kapcai di kaca TV? Terimalah buah tangan terbaru pengarah kreatif, Ahmad Idham dengan drama bersiri aksi komedi berjudul APA CELOP di slot Aksi TV3 mulai 20 Februari 2012, setiap hari Isnin jam 9.00 malam.
Terbitan Excellent Pictures, drama bersiri 13 episod tersebut merupakan cetusan idea Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertindak sebagai pengarah dan digarap oleh Meor Shariman sebagai penulis skrip. APA CELOP memaparkan pelbagai dilema dan masalah pelumba-pelumba haram yang menjalani kehidupan mereka di kota metropolitan Kuala Lumpur.
Padat dengan aksi yang memukau mata, APA CELOP turut menyelitkan elemen-elemen komedi dan kisah cinta yang romantis. Mengisahkan tentang Aman (Kamal Adli) dan Sawi (Taiyuddin Bakar) bercadang untuk berlumba kali terakhir supaya memenangi duit dengan harapan mengadakan sebuah majlis perkahwinan secara besar-besaran bersama kekasih mereka, Julia (Amanda Misbun) dan Munirah (Ika Nabella). Namun, niat baik mereka sering terhalang dek pelbagai masalah yang timbul selepas itu.
Aman telah berlumba dengan Mako (Azad Jasmin), seorang Raja Rempit yang juga ketua samseng dimana seorang gadis kampung, Marsha (Wan Sharmila) dijadikan habuan kepada pemenang. Bagi menyelamatkan Marsha daripada menjadi habuan, Aman bertekad untuk menang perlumbaan tersebut. Kemenangan Aman telah mencalar maruah Mako yang tidak pernah kalah.
Aman dan Sawi terpaksa berbohong kepada Julia dan Munirah bagi menyembunyikan Marsha. Keadaan menjadi semakin rumit apabila Marsha telah hilang ingatan selepas kemalangan jalanraya yang turut melibatkan Aman. Mako juga berang dengan Aman kerana gagal menyerahkan kembali Marsha dan mengugut akan mengambil Julia sebagai pengganti.
Kebaikan Marsha telah menyebabkan Aman menganggapnya sebagai adik angkat. Sebenarnya, Marsha sangat berdendam dengan Aman yang menjadi punca kematian tunangnya di dalam satu perlumbaan haram yang lepas dan telah berpakat dengan Mako untuk memusnahkan hidup Aman. Pada waktu yang sama, Mako mempunyai perasaan terhadap adik perempuan Aman, Sofia (Shenthy Feliziana).
Hubungan Aman dan Julia serta Sawi dan Munirah dilanda konflik selepas mengetahui kehadiran Marsha. Julia mula rapat dengan seorang ahli perniagaan, Zahid (Zed Zaidi) untuk menyakitkan hati Aman. Zahid yang dibebani hutang sanggup menjual Julia. Bagi menyelamatkan Julia, akhirnya Aman bersetuju untuk berlumba dengan Mako. Satu perlumbaan yang akan menentukan nasib Aman dan Julia terletak dalam genggaman tangan Mako. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9, “Sentiasa tampil dengan program TV yang terbaik, TV3 yakin bahawa APA CELOP dapat memenuhi citarasa jutaan penonton yang menantikan drama-drama berkualiti slot Aksi. Buah tangan terbaru hasil sutradara Ahmad Idham bukan sahaja lengkap dengan aksi-aksi hebat, konflik, cinta romantis dan komedi, malah APA CELOP turut memberi pengajaran kepada generasi anak muda supaya jangan mengambil jalan pintas untuk mengecapi kesenangan dalam hidup kerana ianya hanya akan membawa musibah kepada diri sendiri kelak.”
Sesi pelancaran drama bersiri APA CELOP telah diadakan di Pintu Utama, Central Park, Pusat Membeli Belah 1 Utama (Sayap Baru), Petaling Jaya pada 14 Februari lalu dengan kehadiran barisan pelakon popular tanahair seperti Kamal Adli, Taiyuddin Bakar, Wan Sharmila, Amanda Misbun, Ika Nabella, Azad Jasmin, Fendi Balas, Zed Zaidi, Shenthy Feliziana, Anne Abdullah, Den Wahab, Rahim Omar, Dian P.Ramlee dan Kuna.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan APA CELOP menerusi slot Aksi di TV3, setiap hari Isnin jam 9.00malam mulai 20 Februari 2012. Penonton yang terlepas menyaksikan APA CELOP boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini mengenai drama APA CELOP.