in ,

Drama Ampang Medikal Lakonan Rusdiana Rusdi, Fadzlie Rahim

DIARI KEHIDUPAN GOLONGAN DOKTOR PAKAR DI AMPANG MEDIKAL
Siri drama tempatan terbaru di Saluran Ceria Anda!

Malam-malam anda pastinya tidak akan sama lagi dengan siaran siri drama terbaru, Ampang Medikal di ntv7, setiap Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam, mulai 21 Ogos ini! Drama urban ini mengisahkan pahit manis gerbang kehidupan golongan doktor pakar yang berjuang untuk memastikan pesakit masing-masing mendapat rawatan terbaik di Ampang Medikal.

Antara pelakon-pelakon yang menjayakan siri ini adalah Rusdiana Rusdi (watak utama), Julia Ziegler, Nur Aliah Lee, Azhar Sulaiman, Ngasrizal Ngasri, Fadzlie Rahim, Chelsia Ng, Jag Dave Singh dan Louisa Chong. Drama 13 episod ini hasil terbitan bersama Primeworks Studios Sdn Bhd dan Niche Films.  

Golongan doktor pakar di Ampang Medikal merupakan yang paling mahir dan penuh dedikasi dalam pengurusan pesakit mereka, namun sering gagal dalam mengendalikan hal peribadi masing-masing. Temui Dr. Siti (Rusdiana Rusdi) dan Dr Melissa, (Julia Ziegler) dua doktor pelatih yang mempunyai personaliti dan minat yang berlainan namun berkongsi sebuah persahabatan yang murni. 

Lebih dikenali sebagai seorang yang bersifat ketimuran dan sukar didekati, Dr Siti selaku watak utama turut menyumbangkan suara latarnya yang mengisahkan diari kehidupan penghuni Ampang Medikal sepanjang siri drama ini. Sebagai seorang anak yang amat patuh pada orang tuanya, Dr Siti merelakan dirinya ditunangkan dengan lelaki pilihan bapanya, namun dilanda perasaan serba salah apabila Dr Jeffrey (Fadzlie Rahim), seorang pakar pediatrik melafazkan cintanya pada Dr Siti.   Kawan baiknya Dr Melissa pula gadis moden yang gemar bergaya dan mudah mesra.

Sangat dihormati dan digeruni oleh kebanyakan penghuni Ampang Medikal ialah Dr. Maznah (Aliah Lee), seorang pakar kardiologi yang tegas dan berwibawa. Jauh di sudut hatinya, Dr Maznah terpaksa berperang dengan emosinya sendiri apabila berjaya menghidu kecurangan suaminya. Setelah dimaklumkan mengenai penceraian Dr Maznah, Dr Amir (Azhar Sulaiman), seorang pakar neurologi berusaha untuk mendekati dan mencuri hati wanita tersebut.

Seorang yang tegas dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya perdoktorannya, Dr. Idris (Ngasrizal Ngasri) menganggap Melissa dan Siti sebagai dua orang doktor pelatih yang mengambil mudah tugas seorang doktor. Perhubungan keduanya dan Dr Idris kian tegang apabila Dr. Idris tidak pernah berhenti untuk mencari kesalahan dua sahabat karib itu. Tetapi akhirnya Dr Idris juga turut terpaut hati dengan Dr Siti, menambahkan lagi kerunsingan Dr Siti.

Berlandaskan jalan cerita yang menarik di samping sarat dengan babak-babak cemas di ruang hospital, tentunya ia merupakan sebuah drama yang dinanti-nanti oleh semua.

“ntv7 sentiasa berusaha menyediakan kandungan urban berkualiti yang menepati citarasa penonton sasaran kami, dan Ampang Medikal pastinya menepati ciri-ciri ini,” kata Cik Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi.  “ Siri ini menyaksikan gabungan muka baru dan bintang ternama di samping jalan cerita menarik yang ditujukan buat pelbagai lapisan penonton.”

Rasailah pahit getir yang dihadapi oleh golongan doktor pakar di Ampang Medikal, setiap Khamis, jam 8.30 hingga 9.30 malam, mulai 21 Ogos ini hanya di ntv7! Untuk menonton semula episod yang telah ditayangkan, layari Catchup TV di www.ntv7.com.my.

Rusdiana Rusdi sebagai Dr Siti

Chelsia Ng sebagai Dr Sui Chen

Azhar Sulaiman sebagai Dr Amir

Fadley Rahim sebagai Dr Jeffrey

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ROLLING LOVE LAKONAN JIRO WANG, TANG YU ZHE, GENIE ZHUO

Sekitar Pelancaran Album Mini Aznil Haji Nawawi