Siapa sangka penyanyi lagu “Aku Yang Sebenar”, Hazama, yang berjiwa Rock mampu bermain dengan emosi untuk menjayakan watak “Ammar” dalam drama terbaharu TV3 iaitu Ammar & Opie.
Menurut Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri selaku Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan (TV3 & TV9), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad,
“Ammar & Opie adalah drama taruhan terbaharu slot Zehra, dan diterapkan dengan nilai-nilai keharmonian yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat. Drama ini mengisahkan seorang pemuda bernama Ammar yang ingin memburu impiannya untuk menjadi penyanyi terkenal, namun dia telah diuji dengan pelbagai cabaran sepanjang perjalanannya itu.
Kami berharap drama ini akan memberi impak yang besar kepada para penonton dan mudah-mudahan boleh memberi inspirasi dan iktibar kepada orang ramai,”
Mula bersiaran di slot Zehra pada 20 September, drama terbitan Excellent Pictures ini mempunyai 13 episod yang diarahkan oleh Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin. Penuh dengan nilai-nilai keharmonian, drama “Ammar & Opie” turut menampilkan bintang-bintang hebat seperti adik Raif Irfan sebagai Opie, Dato’ Awie (Tok Wie), Syerinie Myra (Wardah), Kodi Rasheed (Nizam) dan ramai lagi.
Ammar dikenali orang ramai dan menganggap popularitinya itu adalah tanda baik untuk peningkatan kerjayanya sebagai seorang penyanyi. Namun begitu, populairiti juga mampu menghanyutkan sekaligus memusnahkan kerjaya seseorang artis. Itulah yang telah berlaku kepada Ammar, dan fitnah yang tercetus membuatkan dia terus terdampar kecewa.
Selepas menerima berita tentang kematian ibunya, Ammar terpaksa berdepan dengan sebuah fitnah yang membabitkan dirinya. Pengalaman pahit ini menyebabkan karier nyanyian Ammar hancur, lantas membuatkan dia kemurungan serta mengalami tekanan perasaan yang teruk sekali.
Ammar sangkakan bahawa dia masih mempunyai peluang untuk menaikkan namanya kembali, apabila dia menerima tawaran baharu mengenai sebuah konsert di Thailand. Apakan daya, setelah tiba di negara jiran, Ammar sedar yang sebenarnya dia telah ditipu. Tidak mempunyai apa-apa selain gitarnya, kehidupan Ammar semakin berantakan sehingga dia terpaksa menjadi gelandangan.
Ketika Ammar sedang termenung mengenangkan nasibnya yang malang itu, seorang pengemis cilik bernama Opie telah muncul dan menyerahkan sebungkus makanan kepada Ammar. Siapa sangka, pertemuan dengan Opie ini memberikan harapan baharu baginya.
Sejak itu, mereka berdua sering menyanyi di jalanan sama-sama demi sesuap nasi. Kembara baharu Ammar ini banyak mengajarnya tentang erti sebenar kehidupan, serta kembali ke pangkal jalan.
Adakah Ammar bertul-betul sudah berubah? Mampukah dia meraih kembali popularitinya seperti sebelum ini? Jangan lupa untuk mengikuti kisah Ammar dan sahabat ciliknya Opie, dalam drama Ammar & Opie, pukul 9.00 malam, setiap Rabu dan Khamis, hanya di TV3! Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram TV3 iaitu @tv3malaysia, dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.