Dr. Martens kembali menggegarkan dunia fesyen dengan koleksi terbaharu mereka untuk musim bunga/panas 2025. Koleksi ini diberi nama Buzz, diinspirasikan daripada arkib klasik era 90-an dan tampil dengan reka bentuk yang berani, funky dan moden, sesuai untuk pencinta kasut yang mahu tampil menonjol dan unik.
Koleksi ini bukan sekadar ‘kasut baru’ biasa. Ia adalah satu transformasi gaya dari Dr. Martens yang menawarkan gabungan antara elemen warisan jenama dengan sentuhan kontemporari. Kasut platform Buzz ini dibina atas struktur 5-eye lace-up, dan apa yang membuatkannya menonjol ialah tapak tebal yang selesa serta rekaan atas yang penuh warna dan tekstur. Ia bukan sahaja nampak menarik, malah direka untuk keselesaan maksimum dalam setiap langkah.
Menurut pereka kasut utama jenama ini, Bridie Husband, beliau berkata:
“Buzz ini tampil dengan estetik sporty dan streetwear yang belum pernah ditonjolkan oleh kami dalam beberapa musim kebelakangan ini. Kami perhatikan tren kasut wanita semakin cenderung kepada gaya retro 90-an dan elemen nostalgia. Jadi, ini adalah masa yang tepat untuk kami bawakan semula ciri-ciri yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. Reka bentuk dengan tapak platform yang tinggi bukan sahaja memberi penampilan fizikal yang menyerlah, malah menaikkan keyakinan si pemakai. Kami juga tambahkan lapisan padding untuk lebih keselesaan. Jadi, kami sangat teruja nak lihat bagaimana peminat kami akan menggayakan kasut ini mengikut gaya masing-masing.”
Tekstur, Warna Dan Material Yang Kaya Dengan Identiti
Antara elemen paling menarik dalam koleksi Buzz ini ialah variasi warna-warna statement, corak unik dan material premium yang digunakan. Dr. Martens tidak main-main dalam pemilihan material kali ini. Kasut Buzz hadir dalam beberapa variasi termasuk:
- Kulit Hair On bertekstur dengan cetakan leopard yang menambah elemen liar dan berani
- Kulit Grizzly yang lembut untuk rasa premium
- Kulit Milled Nappa yang tahan lasak dan fleksibel
- EH Suede yang memberi sentuhan lebih kasual tetapi tetap bergaya
Bahagian tapak kasut pula dihiasi dengan corak daun unik di bahagian bawah, dan disempurnakan dengan jahitan kuning ikonik Dr. Martens. Rekaan ini jelas menunjukkan betapa telitinya jenama ini dalam memastikan setiap perincian memberi impak kepada keseluruhan estetika kasut.
Lebih menarik lagi, reka bentuk Buzz ini dilengkapi dengan padded ankle collar yang memberi sokongan dan keselesaan tambahan. Malah, logo bubble brand patch yang dikemas kini juga menjadikan kasut ini lebih moden dan berjiwa muda.
Direka Oleh Bakat Baru, Untuk Generasi Baru
Koleksi Buzz ini adalah hasil kerja keras generasi baru pereka muda yang kini mencipta gelombang baharu di Dr. Martens. Ia bukan sahaja meraikan gaya retro yang masih relevan, tetapi juga membuka jalan kepada inovasi dan kreativiti dalam dunia kasut streetwear.
Pelancaran pertama koleksi Buzz ini akan mula berada di pasaran secara global bermula Februari 2025, dan boleh didapati di butik fizikal mahupun secara dalam talian. Ini baru permulaan — akan ada lebih banyak variasi Buzz dalam musim-musim yang akan datang. Jadi, buat peminat Dr. Martens, ini masa terbaik untuk tambah koleksi anda!
Kenali Dr. Martens: Ikon Fesyen Yang Tak Pernah Lapuk Ditelan Zaman
Untuk yang masih belum kenal, Dr. Martens adalah jenama kasut dan aksesori ikonik dari Britain, diasaskan di Northamptonshire, England. Pasangan kasut pertama mereka muncul pada 1 April 1960 dan dinamakan 1.4.60, sempena tarikh pelancaran.
Model asal 1460, dengan tapak empuk berventilasi dan rekaan siluet klasik, pada mulanya dipakai oleh golongan pekerja sebelum menjadi pilihan pemuzik dan ikon subkultur jalanan. Kini, selepas lebih enam dekad, jahitan kuning, tapak bergalur dan heel loop bertulis menjadi tanda pengenalan Dr. Martens yang dikenali di seluruh dunia.
Menariknya, kilang asal Dr. Martens di kampung Wollaston, Northamptonshire masih lagi beroperasi hingga kini. Di situ, sepasukan kecil menghasilkan rangkaian eksklusif ‘Made in England’ menggunakan teknik dan bahan warisan yang menjadikan jenama ini terus kekal autentik.
Selain itu, pelbagai kolaborasi dan rekaan baru terus diperkenalkan setiap musim bagi memastikan peminat setia tidak bosan dengan penawaran mereka. Setiap pasang kasut Dr. Martens direka dengan fokus pada ketahanan, fleksibiliti dan kebebasan gaya, kekal setia dengan DNA rekaan mereka yang diinspirasikan daripada semangat inovasi dan kreativiti.
Kini, jenama ini boleh didapati di lebih 230 butik fizikal seluruh dunia dan sejak 29 Januari 2021, Dr. Martens telah disenaraikan di pasaran saham utama London Stock Exchange (DOCS.L), serta menjadi sebahagian daripada indeks FTSE 250.
Apa Kata Budiey?
Budiey rasa koleksi Buzz daripada Dr. Martens ini memang satu langkah berani dan tepat pada masanya, terutamanya bila kita tengok bagaimana trend fesyen kini sangat dipengaruhi oleh elemen nostalgia 90-an. Gabungan antara tapak tebal yang selesa, material berkualiti tinggi dan warna yang menonjol menjadikan kasut ini bukan sekadar pelengkap gaya, tapi satu kenyataan fesyen. Ia bukan saja untuk gaya jalanan, malah sesuai untuk mereka yang mahu tampil yakin dalam apa jua suasana.
Bagi Budiey, ini bukan sekadar kasut — ia adalah cara untuk ekspresikan identiti dan personaliti. Dan paling penting, ia memberi ruang kepada pemakai untuk bergaya tanpa kompromi kepada keselesaan. Jadi, kalau anda nak tambah koleksi kasut yang versatile dan ikonik, Buzz patut masuk dalam senarai wajib beli anda tahun ini!
Untuk maklumat lanjut, layari: www.drmartens.com