Majlis telah bermula sekitar jam 3 petang itu bukan sahaja dihadiri oleh rakan-rakan media malah turut hadir meraikan hari bersejarah dan penuh makna bagi label muzik Dr. Irma Entertainment adalah selebriti tanah air dan penggiat seni yang pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini.
Majlis yang julung kali diadakan itu telah dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu ciptaan Dr. Irma yang menjadi runut bunyi bagi dua buah drama bersiri popular tempatan iaitu Antidot Lara nyanyian Ray Asri dan Ampun nyanyian Yama Watanabe bagi drama Jika Masih Ada Rindu, serta runut bunyi drama yang hangat diperbualkan baru-baru ini Pujaan Hati Kanda iaitu Definasi Cinta (Ferhad), Lakar Janji (Azharina Azhar) yang didendangkan dengan rendisi tersendiri oleh Ray Asri dan Gyha.
Video LIVE Sekitar Pelancaran Lagu Terbaharu Artis Dr. Irma Entertainment
Nama Dr. Irma kian meniti di bibir pengiat seni tanah air sebagai seorang doktor gigi yang berbakat besar dalam bidang penggubahan dan penulisan lagu.
Atas minat yang mendalam terhadap dunia seni, label muzik bernama Dr. Irma Entertainment telah ditubuhkan pada tahun 2017 sebagai permulaan bagi beliau mengorak langkah dalam dunia hiburan.
Lebih dua puluh buah lagu ciptaannya telah diterbitkan dan menjadi siulan penggemar muzik tempatan dalam jangkamasa kurang daripada dua tahun. Dr. Irma berazam untuk mengangkat bakat-bakat baharu dengan kemampuan vokal yang luarbiasa.
Bagi tahun 2019, Dr. Irma yakin dengan kolaborasi strategik bersama pakar dan penggiat seni yang berpengalaman dan disegani dalam dunia hiburan iaitu Leroy Crew Productions, Riya Suara dan Didz Squad Studios, artis-artis Dr. Irma Entertainment bakal memberi saingan kepada artis-artis sedia ada yang seumur dengan mereka, sekaligus mengubah wacana industri seni tanah air.
Pelancaran Video Muzik SENDIRI – Akmar Natasha
Kemuncak majlis pada petang itu adalah tayangan perdana video muzik berjudul Sendiri, single pertama nyanyian Akmar Natasha, penyanyi yang diserap masuk ke label muzik itu setelah memenangi pertandingan Suara Juara 2018 anjuran Dr. Irma Entertainment tahun lepas.
Terdahulu, penyanyi berusia 19 tahun kelahiran Pulau Pinang itu juga pernah menjuarai beberapa pertandingan nyanyian antaranya ialah Pesta Pulau Pinang 2016, Chinese Cosmic Penang dan MBI Kulim Kedah, serta menjadi finalis bagi pertandingan nyanyian anjuran Chinese Neway 2017 dan menduduki tempat ketiga Kugiran Sinar 2018.
Karya berentak power ballad ini merupakan sebuah lagi karya indah ciptaan sepenuhnya Dr. Irma yang berkisar tentang seorang wanita yang cuba bangkit dari kekecewaan dan kesedihan ditinggalkan kekasih.
Menurut Dr. Irma lagu ini ditulis dan digarap khas buat Akmar Natasha dan beliau sengaja mencabar kemampuan vokal Akmar Natasha yang sememangnya sudah cukup mantap. Lagu ini turut ditampilkan sebagai salah sebuah runut bunyi dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda.
Video muzik Sendiri memaparkan terjemahan lirik lagu tersebut dalam bentuk visual hasil sentuhan arahan sulung Didie Samueil, dengan penampilan istimewa hero drama terkenal, Azreil Ismail. Tonton video muzik SENDIRI di link berikut: https://youtu.be/NmB41096f1M
Bagi menutup acara penuh gemilang pada hari ini, turut dipersembahkan dua buah lagu nyanyian artis animasi pertama Malaysia, AyaSofia yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh Gyha Raden Atan dan Ray Asri.
Lagu berjudul Bang Selebu adalah nyanyian duet AyaSofia bersama Raden Atan manakala lagu kedua berjudul Emoji merupakan lagu duet AyaSofia bersama Waris. Karya istimewa gandingan Dr. Irma dan Waris terhasil demi mencari kelainan dalam penerbitan lagu-lagu edaran Dr. Irma Entertainment.
Lagu Emoji telahpun mula diedarkan sejak enam bulan lalu mendapat reaksi yang sungguh menggalakkan dari pendengar-pendengar dan mula rancak diputarkan di stesen-stesen radio tempatan biarpun tanpa promosi yang intensif.