Dongeng Cinderella Versi Melayu Dalam Fantasi Si Laila Menerusi Slot Citra Di TV2
Kebiasaannya budak yang berbadan gempal seringkali menjadi mangsa buli teman sepermainannya. Namun berbeza dengan Laila yang terkenal dengan sikapnya yang nakal suka membuli teman-temannya. Malah Laila juga gemar melawan kata ibu dan ayahnya.
Dibawakan watak utamanya, Laila oleh Erynne Erynna selain turut dibantu oleh Adi Putra, Elly Mazlin, Ruminah Sidek, Fazdrin Danial, Zarynn dan Sweet, telemovie Fantasi Si Laila yang sesuai ditonton seisi keluarga terutamanya pada cuti persekolahan ini menemui penonton pada 5 Jun 2012, jam 10.00 malam mengisi slot tontonan ramai, Citra di TV2.
Drama arahan Adam Hamid ini mengangkat kisah berlaku dalam diri kanak-kanak bernama Laila yang gemuk dan sangat nakal. Hobinya suka membuli kawan-kawan di sekolahnya hingga memeningkan kepala ibu dan ayahnya.
Begitu pun dalam diam Laila sebenarnya menyimpan impian mahu menjadi secantik puteri dongeng Cinderella. Namun impiannya itu hanya dicurahkan dalam diari kesayangannya dan dirahsiakan daripada pengetahuan kawan-kawannya. Pada masa sama, kelakuan Laila yang nakal tidak disenangi kawan-kawannya. Setiap haria ada saja aduan jiran atau pelajar di sekolah tentang kenakalan Laila. Ia menimbulkan perasaan runsing Yati dan Razak, ibu dan ayahnya.
Suatu petang, ketika Laila sedang bermain di sebuah taman dia terlanggar seorang nenek tua sehingga menyebabkan tongkat nenek tersebut jatuh. Nenek tersebut meminta bantuan Laila untuk mengambil tongkatnya semula namun tidak diendahkan oleh Laila. Laila terus bertindak untuk meninggalkan nenek tersebut disitu namun langkahnya terhenti apabila tiba-tiba nenek itu bersuara dengan berjanji pada Laila untuk melaksanakan impiannya.
Laila terkejut kerana nenek tua itu mengetahui impian Laila untuk menjadi seperti Cindarella lalu bersetuju untuk mengambil tongkat milik nenek itu semula. Selepas itu, nenek tua itu yang menggelarkan dirinya sebagai “Nek Yan” disuruh Laila mengotakan janjinya. Nek Yan bersetuju untuk melaksanakan impian Laila dan berjanji untuk datang semula di tempat tersebut pada keesokkan harinya.
Saban malam Laila tidak nyenyak tidur kerana memikirkan kata-kata Nek Yan dan dia tidak sabar mahu melihat impiannya menjadi kenyataan. Seperti yang dijanji, Laila tiba awal di padang dan menunggu kedatangan Nek Yan disitu. Selepas hampir sejam menunggu Nek Yan tidak muncul dan itu menimbulkan kemarahan pada Laila. Semua kanak-kanak yang bermain disitu dipukulnya tanpa sebab.
Namun tiba-tiba Nek Yan menegurnya dan Laila dengan segera mendesak Nek Yan untuk mengotakan janji. Seperti yang dijanji, Nek Yan akhirnya telah memberikan Laila seutas rantai untuk dipakainya sewaktu tidur malam. Nek yan berjanji ketika celiknya mata Laila, impiannya serta merta terlaksana.
Benar apa yang dikatakan oleh Nek Yan apabila dia bangun keesokkan harinya, Laila terkejut besar melihat perubahan pada dirinya. Dia kini tidak lagi gemuk seperti dulu malah lebih kelihatan cantik. Ibu bapa Laila terkejut besar melihat perubahan pada diri Laila begitu juga dengan kawan-kawan di sekolah. Semua terpegun melihat kecantikan Laila yang tidak ubah seperti seorang puteri kecil.
Mereka menyangkakan sikap Laila akan berubah sepertimana berubahnya fizikal Laila seperti Cinderella namun sebaliknya dia lebih menyombong diri. Laila semakin galak membuli. Lalu bagaimanakah penghujung kisah sarat pengajaran berguna ini? Saksikannya hanya di TV2.