in , ,

Dolla Tunjuk Bakat Sebagai Pelakon, Bakal Muncul Dalam Telefilem DOLLA WATCH ME GLOW

Baru setahun melangkah ke bidang seni, kumpulan wanita yang dikenali sebagai Dolla mungkin boleh berbangga dengan pencapaian mereka apabila kisah hidup mereka kini diangkat dalam sebuah telefilem tidak lama lagi.

Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat pada 22 Mei jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD. Dolla Watch Me Glow arahan  Izuan Mokhtar diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle. 

Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla tercetus daripada pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak kumpulan yang mula popular dengan lagu Dolla Make You Wanna itu wajar dikongsi bersama penonton.

Telefilem DOLLA WATCH ME GLOW

Mewakili anggota kumpulan Dolla, Sabronzo tidak menyangka apabila Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem.

Biarpun bangga dengan peluang diberikan, sebagai sebuah kumpulan baru kata Sabronzo, peluang itu dilihat terlalu besar untuk mereka.

“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kami sangat terkejut. Bukan apa jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil. 

“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu, bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” kata Sabronzo.

Telefilem DOLLA WATCH ME GLOW

Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran. Namun dengan bantuan pengarah serta krew, mereka berjaya menjiwai watak masing-masing.

“Tidak dinafikan  bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon , apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla. Nasib baik pengarah dan krew banyak membantu sewaktu di set, jadi kami berjaya juga menghayati watak masing-masing.

“Bagi saya bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk menangis. Tapi saya amat mengagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama tetapi  mereka boleh melakonkan adengan menangis dengan semula jadi. Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya apabila meminta saya mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya boleh menghayati babak menangis,” kata Sabronzo.

Menurut Sabronzo lagi, kisah di dalam telefilem Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu. Pelbagai kisah suka dan duga bakal dikongsi dengan peminat, malah banyak yang mungkin tidak diketahui oleh peminat sebelum ini.

Bagaimanapun kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla dengan peminat kerana beranggapan tiada apa yang perlu dirahsiakan dari pengikut Dolla.

“Memang hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam telefilem itu ada ke mana mengena dengan kami. Cuma 30 peratus yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.

“Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton. Jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami. 

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan. Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” kata Sabronzo.

Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Sabronzo bagaimanapun mendedahkan Dolla kini mula meminati bidang itu. Malah mereka bersedia untuk lebih serius dalam bidang lakonan serta tidak akan menghalang anggota kumpulan Dolla yang lain jika menerima tawaran lakonan secara individu.

Sementara itu Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr Mohamad pula berkata, dia amat terkejut dengan kemampuan kumpulan itu berlakon biarpun ke semuanya pertama kali beraksi di hadapan kamera.

Menurut Marr, idea untuk menerbitkan drama itu datang daripada pihak Asto yang terkejut dengan penerimaan peminat terhadap kumpulan itu sehingga muncul trending di serata dunia.

Kata Marr, bagi mengorek kisah hidup empat gadis berkenaan, dia meluangkan masa antara empat hingga ke lima jam semata-mata untuk menemuramah mereka.

“Astro memberikan sepenuh kebebasan kepada Zeel Production untuk menghasilkan sebarang bentuk cerita. Tidak kisahlah sama ada kisah rekaan atau dokumentari asalkan berkisarkan Dolla.

“Mereka tertarik dengan Dolla kerana kumpulan itu mencetuskan fenomena apabila dikatakan meniru kumpulan dari Korea Selatan, Black Pink. Tapi setelah bertentang mata dan berbual pelbagai perkara dengan empat anggota Dolla, saya lebih tertarik untuk mengangkat kisah sebenar mereka.

“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini. Antaranya bagaimana kumpulan itu mendapat tentangan keluarga kerana ingin bergelar penyanyi, kerana ada antara mereka yang datang daripada keluarga yang alim. Serta bagaimana anggota Dolla berdepan dengan kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor kerana tertekan dengan buli siber,” kata Marr.

Tambahnya lagi, apa yang sebenarnya ingin dipaparkan adalah bagaimana  kumpulan itu boleh bermula serta dari mana mereka mendapat nama Dolla. 

“Peminat mungkin tidak tahu mereka juga sebenarnya datang ke Universal Music sebagai artis solo, tetapi pihak Universal menggabungkan keempat-empat mereka menjadi sebuah kumpulan. Jadi kita akan tunjukkan bagaimana mereka ingin mencipta keserasian sedangkan identiti mereka yang berbeza dan kita juga ingin tekankan dalam telefilem itu yang Dolla bukanlah Black Pink,” kata Marr lagi.

Bagi pihak Universal Music pula, semestinya peluang diberikan Astro dan Zeel Production itu tidak seharusnya dilepaskan.

Telefilem DOLLA WATCH ME GLOW

Pengurus Pemasaran dan Promosi Domestik, Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, peluang diberikan itu dapat membuka mata generasi baru terhadap anak seni kita.

“Ia satu platform yang baik untuk memperkenalkan Dolla dengan lebih dekat kepada peminat. Semestinya pihak Universal Music sangat terharu apabila pihak Astro dan Zeel berminat untuk mengangkat kisah penyanyi nanungan kami.

“Kami berharap telefilem itu dapat mengangkat dan membuka mata peminat khususnya generasi madu terhadap anak seni tempatan yang berbakat dan hebat,” kataya.

Dolla Watch Me Glow mengisahkan Sabrina, gadis yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Los Angeles, California. Juga Tabby, seorang anak tunggal yang dikongkong keluarga.

Manakala Shasha  pula yang sekian lama dibenci ibunya sendiri dan Angel, gadis yang sentiasa ingin keluar dari zon selesa hidupnya. 

Sabrina, Tabby, Angel dan Shasha ingin menggapai cita cita dan minat mereka dalam bidang muzik. Mereka berempat menjalani uji bakat bersama syarikat rakaman tersohor, Universal Muzik secara solo. 

Bagaimanapun, penyelasar A&R syarikat berkenaan, Kelly lakonan Azwan  Ali membuat keputusan untuk menyatukan mereka sebagai sebuah kumpulan. Sabronzo yang sejak dari kecil bercita-cita hendak menjadi rappers mula tidak berpuas hati dan bermula pelbagai peristiwa bagi membentuk sebuah kumpulan.

Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jangan Degil Sangat, Duduklah di Rumah, Kes Baharu COVID-19 Cecah 6,075 Hari Ini!

Isu Merentas Negeri ke Nilai 3, Neelofa & Suami Bakal Didakwa di Mahkamah Esok