in

Dokumentari Sungai Batu, Lembah Bujang Tamadun Terawal Asia Tenggara

RTM SIAR DOKUMENTARI SUNGAI BATU, LEMBAH BUJANG : TAMADUN TERAWAL ASIA TENGGARA

Sebelum ini pakar-pakar arkeologi hanya menemui bangunan-bangunan bercirikan candi purba namun penemuan tapak arkeologi di kawasan Sungai Batu berbeza dengan artifak terdahulu. Hasil penemuan itu amat menakjubkan kerana ia berjaya mengubah perspektif sejarah negara dan meletakkan Malaysia sebagai pusat wujudnya tamadun manusia tertua di Asia Tenggara setakat ini.

Justeru kepada anda yang mahu mengikuti dengan lebih mendalam tentang penemuan tapak arkeologi yang dipercayai tertua di Asia Tenggara mengatasi Angkor Wat di Kemboja serta Borobodur di Indonesia dan Thailand ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari bertajuk Sungai Batu, Lembah Bujang : Tamadun Terawal Asia Tenggara pada 3 Julai 2010 (Sabtu), jam 7.00 malam di TV1.

Dokumentari disiarkan setengah jam ini menyusuri kisah sebuah pusat tamadun yang dilengkapi monumen dan batu bersurat berusia lebih 1,900 tahun telah ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM).

Misi penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin itu membuktikan adanya kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah yang serba lengkap dengan konsep sosioekonomi dan perdagangan.

Penyelidikan di kawasan seluas 3 kilometer persegi di sebuah ladang sawit di tepi Jalan Lencongan Merbok itu turut meletakkan ia sebagai pusat tamadun sejarah terawal di Asia Tenggara mengatasi Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur, Indonesia.

Menariknya selain monumen, pakar arkeologi turut menemui satu tulisan berbahasa Sanskrit Palawa pada satu batu bersurat yang berkisar tentang puisi, mantera serta kehidupan masyarakat purba. Malah penemuan monumen dan kawasan purba ini dianggap lengkap dengan adanya tulisan yang memaparkan kisah serta kepercayaan masyarakat lampau.

Lembah Bujang di Sungai Batu adalah penentuan untuk menjangka tamadun baru yang diketahui wujud lebih lama daripada yang ada di negara jiran sama ada di Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Thailand.

Kompleks arkeologi seluas tiga kilometer persegi yang berada dalam kawasan ladang kelapa sawit itu mempunyai 97 tapak kajian yang dikatakan menjadi kunci untuk membuka sejarah tamadun awal negara.

Kepada anda yang mahu mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan penemuan tapak arkeologi ini, pastikan anda menyaksikan dokumentari Sungai Batu, Lembah Bujang : Tamadun Terawal Asia Tenggara pada 3 Julai 2010 (Sabtu), jam 7.00 malam di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Separuh Akhir 2 Rentak Juara Tema Lagu Rakyat

Ella Bersedia Untuk Konsert Ella Istana Budaya