in

Dokumentari Sundait Sabah Di TV2

Kenali Budaya dan Cara Hidup 13 Kaum di Sabah Menerusi Dokumentari Sundait Sabah Di TV2

Penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak perlu bersusah payah membuka buku untuk mengetahui dan mengenai latarbelakang 13 suku kaum di Sabah apabila RTM menerusi TV1 bakal menyiarkan dokumentari menarik bertajuk Sundait Sabah mulai 18 Oktober 2011, jam 2.00 petang.

Dokumentari 13 episod terbitan Dimuara Pictures Sdn Bhd itu berkongsi memaparkan budaya, cara hidup dan perkongsian informasi mengenai 13 suku kaum di Sabah yang melibatkan Bajau Laut, Tidong, Murut, Kedayan, Melayu Cocos, Irranum dan banyak lagi.

masyarakat Bajau Laut di Sabah

Menariknya dokumentari disiarkan 30 minit setiap episod ini mengambil pendekatan berbeza apabila menggunakan teknik ‘bercerita’ dimana informasi dan penerangan mengenai sesuatu kaum itu diselitkan didalam cerita. Sebahagian besar cerita akan disampai melalui suara latar disamping temubual yang dilakukan kepada penduduk setempat.

Dalam setiap episod, beberapa orang individu dari kaum yang dipilih akan diambil kisahnya yang dijadikan tajuk utama misalnya menerusi episod pengenalannya yang berkongsi kisah melibatkan kaum tidong tentang majlis berkhatan cara tradisional mereka. Lokasi Kampung Kalabakan merupakan penempatan tertua kaum Tidong di Tawau telah dipilih untuk berkongsi kemeriahan penduduk di situ mengadakan majlis berkhatan cara lama orang Tidong yang pastinya ada daripada kita yang tidak mengetahuinya sebelum ini.

Kisah individu-individu tersebut akan dicungkil dan digarap sebagai simbolik kepada kaum yang diwakili mereka. Penonton akan dapat mengetahui kehidupan, adapt resam dan gaya hidup sesuatu kaum itu melalui kisah dipilih.

Paparan cerita adalah berunsur realiti dimana visual yang dipaparkan adalah merupakan rakaman-rakaman kejadian yang benar-benar terjadi disamping sedikit babak lakonan semula sebagai penguat dan penarik cerita.

Episod-episod lain yang menarik untuk dikongsi sama termasuklah mengenali kaum Bajau Laut yang memilih lokasi kampung contoh, kampung budaya di Kampung Damai, Semporna yang indah dan kaya dengan budaya yang berhasrat untuk mengekalkan gelaran kampung contoh Sabah 2010. Selain keindahan, aspek kebudayaan juga akan dinilai. Warisan kaum yang masih dipelihara dengan baik adalah kemahiran membuat gong & kulintangan kaum Bajau. Selain itu tarian Igal-igal dan daling-daling yang sinonim dengan kaum Bajau juga dipaparkan.

Saksikan juga episod Kaum Melayu Brunei yang terkenal dengan aktiviti Lumba Dayung, Kaum Rungus Popular Dengan Gong – Warisan Mistik, Kaum Melayu Cocos (Warisan Kebudayaan Cocos), Dusun Tindal (Tarian Mongigol), Kaum Lundayeh (Adat Lundayeh Menyambut Tetamu) dan Kaum Kadazan Dusun
(Hinava & Bambangan : Menyambut Ulangtahun Setengah Abad).

Tarian Daling-Daling oleh masyarakat Bajau Laut di Sabah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Mawi di Projek Beautiful Malaysia di Semporna Sabah

Astro Kasih Cipta Rekod di Malaysia Book of Records