in

Dokumentari Seven Wonders

7 KEAJAIBAN DUNIA ISLAM DIPAPARKAN DALAM DOKUMENTARI SEVEN WONDERS OF THE MUSLIM WORLD SEMPENA AIDILADHA INI DI TV1

Aidiladha ini pastinya lebih bermakna apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadiahkan penonton setia salurannya dengan dokumentari bertajuk Seven Wonders of The Muslim World pada 17 November 2010 (Rabu), jam 9.30 pagi di TV1 yang menyingkap sejarah keagungan tujuh buah masjid paling ikonik dalam dunia Islam. Ia meliputi aspek seni bina dan rekaan yang diilhamkan melalui ayat-ayat dalam al-Quran oleh individu ternama yang telah memeluk Islam.

Penonton disajikan paparan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin diikuti Alhambra di Granada, Sepanyol; Masjid Biru (Istanbul, Turki); Masjid Agung Djenne (Mali, Afrika Barat); Masjid Imam (Esfahan, Iran), Masjid Badashahi (Lahore, Pakistan) dan berakhir Masjidil Haram di Mekah al-Mukarramah yang pasti bakal membibitkan perasaan terharu menyelubungi diri terutama bagi mereka yang beragama Islam.

Apatahlagi dokumentari ini mengimbas semula perjalanan dakwah dan perkembangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, mustahil jika seseorang itu tidak merasai getaran keinsafan jauh di dalam sudut hati. Ternyata, peninggalan dan pengorbanan Baginda dapat dilihat hingga ke hari ini dan dikongsi bersama seluruh penonton.

Dokumentari itu bermula dengan penjelasan bagi setiap rumah ibadat itu dan tambah menarik kerana ia dilengkapi cerita perjalanan keimanan enam orang anak muda yang berasal dari sekitar kawasan masjid itu dibina. Malah turut menyorot cara hidup harian mereka termasuk rutin menunaikan solat di masjid berkenaan.

Sepanjang perjalanan penuh bermakna itu, perasaan setiap daripada mereka diluahkan di hadapan kamera sehinggalah mereka tiba ke kota suci Mekah.

Di sebalik dokumentari ini penuh pengisian mesej yang mengajak penonton menerokai sejarah dan keistimewaan setiap masjid, ia juga sebenarnya membawa mesej mengenai pengertian Islam dari kaca mata pemuda-pemudi tersebut.

Walaupun masing-masing berbeza keturunan dan bangsa, namun hakikatnya mereka menganut agama yang diwariskan oleh rasul akhir zaman, Muhammad SAW yang selama ini telah tersebar ke serata dunia.

Kaabah yang terletak di Masjidil Haram, Mekah menjadi impian dan titik pertemuan bagi watak-watak utama dari pelbagai negara dalam dokumentari ini.Pembikinan dokumentari yang berdurasi selama satu jam itu mengambil masa tujuh hingga lapan bulan namun yang jelas program ini terhasil daripada kombinasi terhadap keinginan untuk menunjukkan kepada dunia tentang aspek keindahan dalam Islam itu sendiri.

Penonton pastinya terpesona dengan keindahan reka bentuk dan sejarah Masjid Biru yang memang tiada tolok bandingnya. Begitu juga Kubah Batu berwarna emas ini terletak dalam perimeter Masjid al-Aqsa.

Justeru pastikan anda meluangkan masa menyaksikan Seven Wonders of The Muslim World pada 17 November 2010 (Rabu), jam 9.30 pagi di TV1 yang menyumbang pengetahuan bermakna apatahlagi dalam suasana menyambut Hari Raya Korban ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Baby Amber Chia Ashton Wong di Full Moon Party

Tune Hotels Launch 2 New Hotels