Dokumentari ini mengenai persekitaran dan peralatan yang digunakan oleh manusia bertajuk “More Curious” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 8 Januari ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.30 malam di TV1.
Permulaan dokumentari Inggeris 13 episod ini menampilkan sejarah dan evolusi kasut roda, pembuatan jenis-jenis roti bakar, pelbagai kegunaan pokok buluh, sejarah dan penerbitan buku, teknologi pembinaan jambatan, kegunaan kalender, dan jenis-jenis penulisan kaligrafi.
Dokumentari MORE CURIOUS, Teknologi Memudahkan Rutin Manusia di TV1
Seterusnya ia menampilkan tanaman dan tabiat meminum kopi, jenis-jenis wang syiling dunia, cara-cara masak-memasak dan pantang larang makanan, kapas dan tenunan kain, asal usul dinosaur, penyebab gempa bumi dan akibatnya serta budaya makan menggunakan penyepit kayu Cina.
Sejarah keajaiban bahan fosil, gimnasium sebagai pusat kesihatan, karate sebagai seni mempertahankan diri dan menonjolkan ciri-ciri sukan lasak tinju menendang menyusul dalam episod berikutnya. Ia juga menyingkap sejarah dan perkembangan periuk induksi dan kemajuan yang tercapai dalam solekan dan penjagaan rambut.
Penerangan mengenai khasiat dan kepentingan susu dan bahan-bahan yang berasaskan susu kepada kesihatan manusia juga turut diceritakan. Begitu juga persaingan dan cabaran daripada makanan ringan. Ia juga menonjolkan fakta dan maklumat berasaskan sains tentang alat tulis pensel, pembaris, ‘rollercoaster’, kapal layar dan pengaruh bulan ke atas bumi.
Menarik dikongsikan sejarah dan maklumat mengenai taekwando, perubahan yang telah berlaku kepada makanan sushi serta menerangkan iklim musim panas dan aktiviti manusia ketika musim itu. Selain itu episod ini turut membentangkan mengenai impak dan pengaruh muzik viola, tsunami, bot-bot rekreasi dan mesin pembasuh dalam kehidupan manusia.
Asal usul dan maklumat diceritakan mengenai permainan sukan ‘ultimate frisbee’, ubat aspirin, alat muzik cello, perhiasan tatu, minuman teh dan juga memaparkan perayaan ‘thanksgiving’ atau perayaan menuai di Amerika dan kepentingan kitar semula untuk mengurangkan pembuangan dan pencemaran serta menstabilkan sumber galian dunia.
Ada juga paparan maklumat dan fakta mengenai pembuatan barangan hasil daripada imejan komputer, kaedah pengiklanan, ‘Cloud Storage’ atau penyimpanan informasi dalam komputer, pengangkutan kereta api, mamalia, semburan aerosol dan impak kepada alam semula jadi dan penyebab selesema.
Berikutnya maklumat dan fakta sains mengenai tablet komputer, alat-alat yang menggunakan udara untuk mengeluarkan muzik, ciri-ciri pelbagai jenis ribut, perubahan yang berlaku ketika musim bunga, fungsi pembesar suara atau ‘speakers’, alkohol sebagai bahan pencuci, bintang-bintang di angkasa dan kandungan atmosfera bintang-bintang itu.
Episod sembilan memaparkan maklumat dan fakta sains mengenai alat muzik ‘Bass’, muzik popular tahun 60an, pasport yang membolehkan lawatan antara sempadan, hidung sebagai deria penting manusia, tekanan darah, pawagam dan sejarah lukisan komik.
Ketahui tentang asfalt, iaitu pepejal petroleum yang digunakan untuk membuat jalan raya, pembuatan pisau, pencuci mangkuk elektrik, logam besi dan kegunaannya, animasi komputer serta pengertian mimpi dan mitologi Yunani.
Tidak kurang menariknya fakta asal usul mesin pengisar, ‘boomerang’ daripada Australia, ‘air fryer’, iaitu alat penggoreng makanan tanpa minyak, mumia Mesir, tombol pintu, pemijak kaki atau ‘pedals’ serta permainan komputer.
Ikuti juga penerangan asal usul akustik bunyi asal, kod komputer, gentian optik, cakera keras komputer, gas helium, ubat herba dan televisyen berdefinisi tinggi.
Ia akhiri dengan memaparkan maklumat dan fakta sains mengenai cara-cara mengikat tali, seni
mempertahankan diri, kegunaan satelit, kaedah informasi disimpan dalam otak, bagaimana tanah menjadi punca kehidupan tanaman, gas petroleum dan penggalian logam.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.