in

Dokumentari Menarik Sempena Raya di TV3

TV3: BEST OF MAGAZINE DOCUMENTARY

Manikam Kalbu, Raya Kedua & Ketiga, 11 & 12 September, 7.30mlm
Antara khazanah lambang jati diri dan bukti kewujudan bangsa Melayu ialah baju kurung teluk belanga dan baju kurung cekak musang. Bagaimanapun, kerancakkan peredaran masa menjadikan semakin ramai alpa mengenai kewujudannya dan pemakaiannya tidak ubah seperti pakaian harian biasa malah menjadi mangsa kreasi melampau fesyen moden. Diadaptasi dari hasil karya novel Manikam Kalbu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 2007 yang turut diiktiraf Novel Remaja Terbaik, Sayembara Jubli Emas DBP 2007 dan Buku Remaja Fiksyen Terbaik, Anugerah Buku Kebangsaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia, naskah ini membuka lembaran minda mengenai keagungan sejarah dan keindahan ciptaan baju kurung, kepelbagaian tekstil Gugusan Nusantara serta membongkar dasar syariat Islam dalam penghasilannya. Ikuti Dhani, gadis cilik yang akan membawa penonton mengenali seribu satu rahsia penciptaan baju kurung sepanjang ‘pengembaraannya’.

Salam Mangkassara – Raya Keempat, 13 September, 1.00 petang
Songkok recca’, songkok pamiring, songkok to Bone, peci atau songkok Makassar, bentuknya bulat, dengan bahagian atasnya rata, dan berlubang kecil di tengah. Umumnya warna hitam, coklat atau krim di atas, dipadu warna keemasan di bahagian tengah ke bawah. Puncak pemesanan songkok to Bone di Indonesia biasa terjadi saat menjelang Hari Merdeka 17 Ogos dan menyambut lebaran. Penerbit Hisham Abdullah dan hos TV3, Ahmad Noor Sulaiman mendekati warga Makassar dan cuba memahami hubungan istimewa mereka dengan songkok to Bone.

Da Jia Hao Taiwan – Raya Kelima, 14 September, 1.00 petang
Menyahut seruan dan semangat perpaduan 1Malaysia, TV3 membawa penonton meninjau majalah dokumentari istimewa tentang umat Islam dan rakyat Malaysia yang menjalani kehidupan yang berbeza di perantauan. Berkunjung ke salah sebuah pulau gugusan Republik Cina, Da Jia Hao Taiwan akan membawa penonton melihat tradisi dan adat yang diamal dan masih dipraktikkan oleh masyarakat Muslim di negara ini ketika berpuasa dan menyediakan persiapan Hari Raya.

Madrasah di Pinggir Syurga – Raya Ketujuh, 16 September, 5.30 petang
Mengisahkan perjuangan sebuah keluarga yang meneruskan amanat dan pengorbanan arwah suami menguruskan Maahaad berusia lebih 30 tahun. Ustazah Hjh Azizah Khatib Mat, 59 tahun, wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang dan ilmu kepada 30 anak-anak di sini. Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah, dibina pada 1984, hasil titik peluh bersama arwah suaminya yang dahulunya dijadikan sekolah pondok tahfiz tanpa bantuan lain. Kehilangan suami pada 2000, tidak membunuh semangat hidupnya. 6 tahun selepas kematian suami, Ustazah Azizah terbuka hatinya untuk mengambil anak-anak yatim, yang terbiar dan miskin menjadi sebahagian daripada keluarganya.Dugaan dan cabaran yang dilalui Ustazah dan dua orang anak perempuannya, Ustazah Norafaf, dan Hafizah, ialah bagi membentuk semula akhlak, displin dan didikan agama kepada 30 orang anak-anak di sini. Bukan tanggungjawab yang mudah melayani pelbagai kerenah anak-anak yang mempunyai cerita dan latar belakang yang berbeza. Saksikan bagaimana penghuni Madrasah menyambut kedatangan Syawal dengan cara mereka tersendiri.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Iklan Promo Hari Raya 2010 TV3

Raya Xpresi Kembara Bersama Tomok, Nubhan & Daus AF8