Penemuan teknologi baru dalam dunia sains dan teknologi dibawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam dokumentari terbaharu, “Know It” berbentuk informasi yang membawa penonton kepada penemuan-penemuan terbaru dalam dunia sains dan teknologi yang mampu memberi kemudahan dalam kehidupan masyarakat sejagat.
Menerusi 23 episod siarannya bermula 18 September ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.30 malam di TV1 memberi informasi kepada penonton mengenai beberapa penemuan terbaru termasuklah penggunaan teknologi tanpa wayar (wireless) bagi mengecas kenderaan elektrik, pembinaan komputer dan robot yang mempunyai perasaan dan deria rasa, kajian saintis mengenai cahaya dan suhu cahaya serta hubungannya dalam meningkatkan prestasi di tempat kerja, mengkaji keindahan herba melalui kanta kamera elektron mikroskop 3D yang juga dapat membezakan rasa sesuatu herba, kajian saintis mengenai virus penyakit, dan pembangunan elektron mikroskop yang mampu mengambil visual sekecil atom.
Ia turut mengetengahkan tentang pembangunan kapal terbang yang mampu membawa penumpang merasai graviti kosong (zero gravity) di angkasa dan kesannya kepada otak, kajian saintis mengenai kehidupan laut yang sangat kecil ‘tiny saltwater sponges’ dan proses pembiakan serta kaitannya dengan teori evolusi, penggunaan ‘3D printer’ dalam penghasilan model 3 dimensi dengan penggunaan serbuk plastik dan lain-lain bahan, kajian penggunaan glu dalam industri berat, perusahaan berasaskan kayu dan manusia, kajian terbaru mengenai pengesanan penyakit berjangkit hanya dengan setitik darah di lokasi, cetakan 3D komponen mikroskopik (microscopic) yang sangat kecil yang tidak kelihatan di mata kasar.
Menariknya ia juga membawakan penggunaan ‘telescopic rays’ melalui teknologi ‘infrared’ bagi mengkaji bintang–bintang dan galaksi di angkasa lepas, mencipta pemancar (transmitter) yang sangat kecil bagi membolehkan ia diikat kepada rama-rama untuk mengetahui pergerakannya, proses pembuangan sisa terbuang menggunakan terowong dan pusat kitar semula bawah tanah di pusat membeli belah, pembangunan robot yang mampu menjalankan tugas sebagai pembantu rumah, melihat bagaimana kapal terbang diservis sepenuhnya selepas digunakan selama enam tahun, memahami gaya kehidupan primat monyet baboon dengan menggunakan teknologi peralatan ‘transponder’, juga ciptaan terbaru bagi mengkaji anatomi manusia dan binatang dan impaknya kepada pergerakan.
Ikuti episod yang membawakan penggunaan teknologi solar yang menggantikan atap rumah, tingkap dan lain-lain bagi mendapatkan punca kuasa elektrik, penggunaan teknologi baru di dalam alat mikroskop bagi mendapatkan imej yang lebih jelas, kaedah baru bagi mengurangkan impak kepada alam sekitar dalam penternakan ikan, penyelidikan mengenai peralatan menggerudi yang digunakan bagi kerja-kerja melombong bijih yang mempunyai daya tahan panas yang tinggi bagi menggantikan berlian yang digunakan masa kini dan penemuan terbaru dalam kajian mengenai kesakitan kronik, kajian mengenai penggunaan rumpai laut dalam industri kosmetik dan sebagai bahan makanan dan latihan bersama Nordic, kapal tunda terbesar di dunia bagi mengekang masalah tumpahan minyak di laut dan menunda kapal yang rosak.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.