DOKUMENTARI KHAS HARI WANITA : KASIHNYA IBU PADA 25 OGOS 2008 DI RTM1
Pelbagai cara digunakan untuk menghargai golongan wanita dan mengenang jasanya yang sememangnya tidak terbalas samada dalam keluarga mahupun berdirinya sebagai seorang insan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan mengambil peluang meluahkan penghargaan dengan menyiarkan Dokumentari Khas Hari Wanita Kasihnya Ibu, Isnin (25 Ogos 2008), jam 06.05 petang di RTM1.
Kasihnya Ibu terbitan Nizarman (M) Sdn Bhd ini memaparkan dan berkongsi kisah benar kegigihan wanita dikenali Siti Zaharah yang bergelar ibu kepada 12 anak dalam mengharungi pahit maung meniti kehidupan yang serba serbi kekurangan di samping berdepan dugaan apabila anaknya yang cemerlang dalam pelajaran, Noor Muha menjadi OKU kerana penyakit yang dihidapinya.
Walaupun kehidupan Siti Zaharah tidak semewah orang lain dengan pendapatannya menjual sayur dengan membantu suaminya yang berpendapat rendah, dia pastinya mampu berbangga dengan pencapaian cemerlang anak-anaknya yang memiliki Ijazah Sains Veterinar dan Diploma Sains Kesetiausahaan selain Noor Nuha yang memiliki kelulusan bidang Undang-Undang.
Namun Siti Zaharah terpaksa melalui detik-detik sukar apabila kehidupannya diuji dengan penyakit yang bertimpa-timpa terhadap anak ke sebelasnya, Noor Nuha. Segalanya bermula apabila Noor Nuha yang membesar sebagai kanak-kanak yang cerdas dan cerdik tiba-tiba berubah menjadi lemah.
Perubahan ketaranya terjawab apabila Noor Nuha disahkan menghidap penyakit leukimia. Keperitan hidup keluarga Siti Zaharah bertambah kerana memerlukan kewangan yang lebih untuk menampung perbelanjaan membeli pil dan ubat untuk terus hidup.
Namun Noor Nuha tetap gigih meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Sains Dungun kerana keputusan cemerlangnya dalam UPSR. Sewaktu berusia 14 tahun, dia terpaksa menjalani pembedahan tonsil tetapi kemudiannya jatuh lumpuh lalu dipindahkan sekolah.
Siti Zaharah yang diuji dengan kesihatan anaknya itu sememangnya ibu yang bertuah kerana meskipun lumpuh dan sentiasa keluar masuk hospital, Noor Nuha memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM lalu ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kerana kemiskinan, Siti Zaharah dan suaminya sanggup menjual tanah dengan harga yang tidak setimpal kerana mahu memastikan anaknya itu melanjutkan pengajiannya. Itulah berkat pengorbanan seorang ibu. Malah naluri keibuan Siti Zaharah gigih menjadi peneman setia Noor Nuha yang berkerusi roda dan pada masa yang sama hilang deria penglihatan terbalas dengan kejayaannya cemerlang dalam pengajian yang diikutinya.
Sebagai ibu kepada anak OKU yang mantap dan gigih berjuang dalam hidupnya, semangat Siti Zaharah sememangnya wajar dicontohi kaum wanita yang lainnya.
Jangan lupa berkongsi pengalaman serta semangat ibu yang gigih membesarkan 12 orang anak terutama graduan cerdik yang meski pun lumpuh ini menerusi Dokumentari Khas Hari Wanita Kasihnya Ibu, Isnin (25 Ogos 2008), jam 06.05 petang di RTM1.