DOKUMENTARI INGGERIS KHAS MERDEKA : PARADIGM TEMUI PENONTON TV1
Pengisian program-program menarik sepanjang bulan kemerdekaan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilengkapi dengan dokumentari Inggeris khas merdeka, Paradigm yang menemui penonton mulai 3 Ogos 2009, setiap Isnin, jam 11.05 pagi di TV1.
Paradigm menerusi 13 episod siarannya menampilkan episod berbeza setiap minggu dimana memaparkan secara terperinci perkembangan sektor ekonomi dan sosial Malaysia terutama melibatkan bidang perikanan, perusahaan getah, Jabatan Perkhidmatan Awam, bidang perniagaan dan sebagainya yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Setiap bidang yang diketengahkan antaranya melibatkan perikanan akan cuba menyusuri perkembangan industri perikanan negara kita. Malah turut ditonjolkan pendekatan tradisional menangkap ikan serta teknologi moden yang semakin berkembang pesat kini. Manakala menerusi perusahaan getah pula, penonton berpeluang menyaksikan kemajuan dicapai oleh industri getah di Malaysia. Selain turut memberikan tumpuan terhadap usaha-usaha dilakukan pihak kerajaan dalam mencapai matlamat bidang ini dalam usaha memajukan ekonomi negara.
Dalam bidang industri minyak, penonton dipertontonkan kejayaan dicapai industri ini sejak tahun 1957 dimana memaparkan karektor utama dari Padang Rengas berkongsi kisah suka duka mencapai kejayaan dalam industri ini. Sebelum menerusi episod seterusnya mengetengahkan transformasi industri pengangkutan di Malaysia juga turut dikongsi sama dari pengangkutan tradisi hingga kemajuan yang dicapai kini menerusi pengangkutan udara dan sebagainya. Selain sokongan yang diberikan kerajaan untuk menyokong industri ini selari dengan perkembangan ekonomi negara.
Kupasan tajuk Jabatan Perkhidmatan Awam pula menunjukkan kemajuan yang dicapai menerusi sektor perkhidmatan awam negara kini yang pastinya jauh berbeza berbanding dahulu. Selain itu turut melibatkan soal kesihatan, keselamatan, pendidikan melibatkan perkembangan intelektual di Malaysia sejak tahun 1957 hingga kini.
Menerusi bidang hartanah, Paradigm mempamirkan nilai dan kemajuan dicapai bidang ini sejak 1957 dan sekaligus di Malaysia kini melibatkan nilai pelaburan dan evolusi dalam industri ini. Selain itu turut dipaparkan bidang pembuatan dimana penonton bakal berkongsi perkembangan industri ini yang terdahulu diaspirasikan dari dua negara, Jepun dan Korea yang dibawa ke negara kita.
Menariknya seorang watak dipilih mengikut episod akan menerajui dokumentari ini bagi ’menghidupkan suasana’ sekaligus mempamirkan kejayaan demi kejayaan dicapai individu dan syarikat yang terlibat dalam semua sektor terlibat.
Justeru usah ketinggalan meluangkan masa menonton dokumentari menarik yang mengupas secara terperinci perkembangan sektor ekonomi dan sosial Malaysia menerusi Paradigm yang menemui penonton mulai 3 Ogos 2009 lalu, setiap Isnin, jam 11.05 pagi di TV1.