Mencecah usia 59 tahun penubuhannya, tidak dapat dinafikan Orkestra RTM diiktiraf antara barisan pemuzik yang paling berpengaruh di Malaysia. Justeru khas sempena Hari RTM ke 74 disambut 1 April ini, RTM pada 31 Mac 2020 (Selasa), menyiarkan dokumentari “Nota Dari Hati” yang memaparkan dokumentasi visual perjalanan Orkestra RTM sepanjang 59 tahun kewujudannya.
Orkestra RTM boleh dianggap sebagai khazanah muzik negara dan amat bersesuaian dijadikan rujukan yang menggambarkan perkembangan industri muzik di Malaysia.
Menemui penonton pukul 10.00 malam menerusi saluran TV1, dokumentari terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM ini menariknya turut menampilkan tokoh–tokoh penting dan insan-insan di sebalik tabir, selain penonton akan dapat mengikuti rutin persiapan yang perlu dijalani ketika penerbitan sesuatu konsert orkestra berlangsung.
Sebagai tambahan, penonton juga akan turut dihiburkan dengan klip klip video istimewa persembahan Orkestra RTM.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).
Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.