Sudah lebih sebelas hari dunia dikejutkan dengan insiden misteri kehilangan pesawat MH370. Namun sokongan rakyat Malaysia dan juga masyarakat seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama tidak pernah putus diterima. Misi mencari serta menyelamat telah dijalankan secara intensif dengan satu harapan agar pesawat MH370 kembali ditemui dengan selamat.
Sebagai salah satu initiatif dan tanda keprihatinan terhadap seluruh ahli keluarga penumpang dan krew penerbangan MH370, Media Prima Berhad yang disertai seluruh warga kerja serta selebriti TV dan radio seperti Nazrudin Rahman, Hafiz Hatim, Jasmine Abu Bakar, Zher Penn, Gary Yap, Wind Lee, Lynn Lim, Helmi Majid, Adriana Aris, Amin Hayat, Saiful Nizam, Ally Iskandar, Fedtri Yahya, Izwan Azir, Fiza Sabjahan, Prem, Jun Yong dan Julie Woon telah hadir pada hari ini untuk satu sesi menurunkan tanda tangan dan kata-kata semangat di ruangan khas yang disediakan di ruang lobi Sri Pentas, Bandar Utama. Para selebriti juga turut berkongsi rasa kesedihan mereka dan mendedikasikan kata-kata sokongan terhadap ahli keluarga MH370 melalui sesi temubual khas dan siaran langsung yang dijalankan bersama media yang terlibat.
“Kami di Media Prima Berhad turut berkongsi kesedihan dan bersimpati dengan tragedi yang berlaku terhadap penumpang pesawat MH370. Sememangnya insiden ini amat memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia. Namun begitu, kita tidak boleh berputus-asa dan harus terus berdoa dan meneruskan misi menjejaki pesawat yang hilang ini. “Fikiran kita bersama ahli keluarga, saudara dan sahabat kepada penumpang pesawat yang hilang ini. Kami berdoa dan berharap keluarga yang terlibat pada masa yang sukar ini agar kekal tabah dan cekal. Dengan segala usaha yang disalurkan untuk misi mencari pesawat ini dan doa seluruh dunia, dengan rahmat Tuhan, misi untuk mencari MH370 ini akan mencapai satu kejayaan. InsyaAllah.” kata En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad.
#DoakanMH370 Ingatan Dan Harapan Kami Sentiasa Bersamamu
[dropcap]E[/dropcap]n. Ahmad Izham Omar disertai oleh Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Shaharudin Abd Latif, Pengarah, Berita dan Editorial Operasi MPB, Datuk Mohd Ashraf Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen, Dato’ Manja Ismail, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Sofwan Mahmood, Pengurus Besar Kumpulan, Operasi Berita, Rangkaian TV dan Radio, Dato’ Lokman Hamidi, Ketua Berita TV9, Nini Yusof, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pemasaran Kreatif dan Komunikasi serta Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV ketika inisiatif yang diadakan dari jam 11.30 pagi ini.
Media Prima Berhad bersama dengan tiga masjid telah mengadakan doa selamat, bacaan yassin dan solat hajat, iaitu di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail pada 11 Mac, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 13 Mac dan pada 14 Mac di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya.
Kongsikan kata-kata semangat anda dengan kami menerusi #doakanMH370 atau #prayforMH370 di laman sosial Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, @tv3Malaysia, @tv9malaysia, @8tv, @ntv7 dan @TontonMY.