“Doa Dari Hati” Elfira Loy Hujung Minggu Ini di TVi
Doa ialah memohon kepada Allah S.W.T. sesuatu kebaikan yang diharuskan oleh syarak. Doa penting dalam kehidupan seharian seorang mukmin. Kebaikan berdoa lagilah berlipat kali gandanya jika diamalkan dalam bulan Ramadan ini kerana sudah termaktub doa orang yang berpuasa itu makbul.
Ia merupakan simbol daripada penghambaan serta merasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah SWT. Doa juga merupakan pujian kepada Allah SWT dengan menyandarkan seluruh bentuk kebaikan dan kemuliaan hanya kepada-Nya sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud ” Doa adalah ibadah” . Begitulah peri pentingnya peranan doa dalam kehidupan seorang Muslim.
Seiring dengan bulan Ramadan Al Mubarak yang mulia ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjanjikan tayangan drama terbaik yang berkait dengan peranan doa bertajuk “Doa Dari Hati” yang menemui penonton pada 27 Jun Ini, pukul 12.00 tengah hari di TVi.
Menampilkan gandingan pelakon utama Elfira Loy, Talha Harith, Hairi Safwan, Sari Yanti, telemovie ini terbitan A-Ten Alliance (M) Sdn Bhd.
Ia berkongsi kisah berlaku pada diri dua beradik iaitu Jamal dan Aboi. Hubungan mereka agak rapat antara satu sama lain. Di kampung mereka ada seorang gadis bernama Lehah yang menjadi pujaan ramai kerana kecantikan diri dan peribadinya.
Konflik bermula apabila masing-masing antara kedua beranak ini menyimpan perasaan terhadap Lehah dalam diam. Masing-masing mahu mendapatkan Lehah untuk dijadikan pasangan hidup. Perwatakan mereka sangat berbeza membuatkan mereka cuba bersaing.
Sementara itu Aboi lebih gemar buang masa selepas dia nekad tidak mahu sambung belajar.
Siapakah yang berjaya memenangi hati Lehah, mampukah Aboi mengubah kehidupannya? Ikuti kesudahannya hanya di TVi.