Bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-68 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 2014 yang lalu, rancangan bual bicara mengenai wanita, Feminin telah mengambil inisiatif untuk meraikannya bersama dengan Suria FM dengan menjemput beberapa penyanpai radio Suria FM sebagai hos jemputan.
Untuk kerjasama yang pertama bersama Suria FM, pada 1 April yang lalu juga, penyampai radio Suria Cinta, DJ Lin telah dijemput untuk menjadi hos jemputan bersama dengan hos Feminin, Datin Ira Ghani. Istimewanya lagi Feminin telah menjemput bekas juruhebah dan pengacara RTM yang terkenal satu ketika dahulu, Tengku Mariam atau lebih dikenali sebagai Kak Yong bagi mengupas topik ‘peranan penyiar wanita dalam mendidik masyarakat’.
“Saya amat terharu dengan tawaran menjadi hos jemputan bagi Feminin melalui kerjasama RTM dan Suria FM. Berkongsi set dengan Datin Ira Ghani dan dapat pula menemubual Kak Yong yang secara peribadinya amat saya minat dan hormati, ia satu pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Selamat ulangtahun ke-68 buat RTM dan semoga terus maju jaya dalam bidang penyiaran Malaysia.”- DJ Lin
Rancangan bual bicara Feminin bersiaran setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 9.30 pagi hingga 10 pagi di saluran TV1. Selain DJ Lin, beberapa penyampai radio Suria FM turut akan diundang bagi menjadi hos jemputan rancangan bual bicara Feminin sepanjang bulan April ini.