Diskoria, duo DJ dan penulis lagu dari Indonesia yang ditubuhkan oleh Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat bakal menghangatkan Kuala Lumpur menerusi persembahan satu malam mereka pada 20 Ogos ini.
Terkenal dalam industri lokalnya menerusi penataan unik dalam gabungan penulisan serta muzik tari Indonesia dan nostalgia rentak disko, funk dan pop retro, Diskoria ditubuhkan pada awal 2015.
Ianya adalah hasil cetusan perkongsian visi untuk memperkenalkan semula muzik disko Indonesia kepada para pendengar yang kurang mengenali genre berkenaan akibat kekurangan informasi sedia ada dan kesedaran tentang genre berkenaan.
Selaku pengumpul tegar koleksi piring hitam, Merdi dan Aat berpendapat bahawa muzik disko Indonesia memilik potensi besar untuk menyumbang kepada arena muzik tari Jakarta.
“Menerusi pelbagai jalinan kerjasama, Diskoria berjaya untuk menghimpunkan para peminat bukan sahaja di Indonesia malah dari setiap pelusuk Asia. Kami pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sebelum ini, namun acara kali ini sememangnya bakal memberikan pengalaman berbza.
Antaranya, RexKL adalah ruang acara yang lebih besar dan kami mempunyai pelbagai material baharu untuk dimainkan secara langsung buat pertama kalinya”, ujar Merdi.
Ini merupakan konsert Diskoria yang pertama kali dianjurkan secara sedemikian dalam suasana unik di ibu negara Malaysia, memberi ruang kepada para penggemar muzik untuk menikmati pengalaman bersama duo luar biasa ini dengan lebih dekat lagi.
“Diskoria bukan sahaja ditubuhkan dengan tujuan untuk bermain dan menulis muzik, ia adalah sebuah gerakan atau ‘movement’. Kami sememangnya percaya dengan potensi muzik serantau dan kami bangga untuk mewakili Indonesia untuk memperkenalkan estetika muzik pop dan disko kami kepada seluruh dunia, terutamanya generasi peminat generasi baru muzik Asia yang lebih sofistikated,” jelas Aat.
Pada tahun 2021, semasa pandemik sedang memuncak, Diskoria menerbitkan C.H.R.I.S.Y.E – sebuah lagu yang menjadi tribut buat legenda muzik Indonesia, Chrisye dengan memuatkan 24 judul lagu beliau dalam lirik lagu tersebut, dan setiap baris korus lagu berkenaan dimulakan dengan huruf yang membentuk nama ‘Chrisye’.
Gandingan bersama Laleilmanino, kolaborasi ini juga menampilkan penyanyi Eva Celia. Sebelum ini, Diskoria juga pernah bekerjasama dengan pelakon tersohor Indonesia, Dian Sastrowardoyo menerusi lagu Serenata Jiwa Lara
Dianjurkan oleh Tala Records Asia yang berpengkalan di Kuala Lumpur, persembahan Diskoria di KL ini juga akan menyaksikan persembahan pembukaan oleh dua duo DJ elektronika terbaik di negara ini, Bad Habits dan Karpet Terbang.
Tiket boleh dibeli menerusi dalam talian di https://talarecordsasia.com/event/diskoria/ dan tiket pra-jualan bernilai RM105 sedang terjual dengan pantas.
Ruang acara rasmi, RexKL adalah sebuah ruang acara langsung berkapasiti 1,500 orang yang tampil dengan pelbagai seleksi makanan dan minuman, terletak di Jalan Sultan, Kuala Lumpur. Untuk Maklumat lanjut mengenai Tala Records Asia, sila layari www.talarecordsasia.com