Bagaimanapun, Haslinda, 56, mengakui keadaan kesihatan suaminya semakin merosot dan kini dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.
“Roy dipindahkan semula ke wad kecemasan kira-kira jam 5 petang hari ini kerana kembali mengalami sesak nafas. Selain itu, dia turut mengalami batuk kuat dan kembali lemah seluruh badan,”
– Haslinda
Haslinda dan anak-anak mereka kini menjalani kuarantin di rumah di Banting dan tidak dibenarkan melawat Roy buat masa ini.
Semalam Roy, 57, yang popular dengan lagu Kau Ratnaku dan Diari Mimpi serta pernah menyertai Gegar Vaganza musim keenam mengesahkan dirinya positif Covid-19 tahap empat dan sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi mengakui tabah menerima keputusan ini dan reda dengan ketentuan takdir.
“Ramai juga artis dijangkiti Covid-19 tanpa tahu dari mana puncanya seperti saya. Apa lagi yang boleh dibuat selain saya kena tawakal kepada Allah,” katanya yang turut popular sebagai penyanyi lagu-lagu patriotik.
– Haslinda
Katanya, restoran milik keluarganya di Banting ditutup sementara manakala isteri dan anak-anak menjalani kuarantin di rumah.
Terdahulu, Roy dimasukkan ke Hospital Banting tengah malam Sabtu lalu akibat sesak nafas.
Dia mulanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi dirujuk ke hospital oleh doktor. Hasil pemeriksaan, doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.
Roy turut menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital dan disahkan positif virus itu.
*Sumber: Harian Metro
Roy Tersentuh Ramai Hulur Sumbangan
Penyanyi lagu Ratnaku, Roy tersentuh apabila ramai bermurah hati menghulurkan sumbangan kepadanya ketika dimasukkan ke Hospital Banting akibat sesak nafas, kelmarin.
“Tak sangka ramai yang sayangkan saya. Saya cukup tersentuh apabila ramai yang membantu dan memberikan pada saat saya diuji ini.
“Lebih bermakna, ada yang mendoakan kesihatan saya kembali pulih. Hanya Allah sahaja dapat membalas kebaikan kalian semua,”
Penyanyi era 1990-an yang dikenali menerusi lagu patriotik itu berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman dalam paru-parunya.
“Setakat ini, saya terus mendapat rawatan rapi di hospital termasuk diberikan antibiotik yang kuat untuk mematikan kuman. Saya masih sesak nafas, tetapi terkawal semula.
“Saya harap tak akan lama berada di hospital. Doakan saya segera sembuh.
“Saya belum pasti bila boleh keluar hospital kerana jangkitan kuman ini sukar dijangka. Saya masih menanti keputusan ujian saringan COVID-19 yang dibuat. Saya dimaklumkan keputusan agak lambat dapat kerana terlalu ramai yang masih menunggu. Staf makmal tak menang tangan,”
Kerana situasi pandemik COVID-19, katanya, pelawat juga tidak dibenarkan melawatnya di hospital.
“Umum tahu dengan situasi semasa, memang tak boleh ada pelawat. Nak tak nak saya kena reda. Jika ada pelawat, ada juga teman buat berbual.
“Keluarga sendiri pun tak boleh melawat. Saya hanya dijaga dan dipantau jururawat dan doktor.
“Ini juga pengalaman pertama saya berdepan dengan kesakitan. Saya reda,” katanya yang pernah menyertai program Gegar Vaganza musim keenam.
Ramai kenalan termasuk teman artis menyebarkan berita kesihatan Roy, selain turut berkongsi nombor akaun bank penyanyi itu jika ada yang mahu membantu meringankan bebannya, kelmarin.
*Sumber: Berita Harian