Ia susulan ciapan di laman Twitter oleh seorang wanita yang mendakwa dan mendedahkan dia sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Enggan membiarkan perkara itu terus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan warganet, Ziela, 51, atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil tampil menjelaskan perkara sebenar.
Menurut Ziela, dia tidak mahu isu itu dibangkitkan pihak lain yang dianggap sengaja untuk mengaibkan dirinya.
Malah, Ziela yang juga penerbit syarikat penerbitan Pena Cretive berkata, apa yang dilalui itu adalah takdir hidupnya yang sudah ditentukan Allah SWT.
“Ya, saya sudah bernikah pada 17 Februari 2019 dan menjadi isteri kedua kepada pengerusi masjid, Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar. Majlis saya diadakan di masjid di ibu negara yang berwalikan bapa saudara dengan disaksikan keluarga sebelah bapa, mak saya, anak-anak dan dua teman rapat.
“Kami hanya berkenalan lima minggu saja sebelum dia menyatakan hasrat untuk mengahwini saya. Bagi saya, keputusan berkahwin sekali lagi bukan keputusan mudah. Apatah lagi menjadi isteri kedua.
“Saya anggap ia adalah takdir dan jodoh. Kalau boleh diberi pilihan, saya pasti bukan ini pilihannya. Mungkin ramai yang mempertikaikan keputusan ini. Jawapan saya mudah, kalau memang saya nak kahwin dengan suami orang, dari dulu lagi selepas arwah suami meninggal dunia,” katanya.
Ziela yang berkahwin dengan suaminya yang berusia 55 tahun berkata, perkahwinan itu bukanlah satu perancangan.
“Sepanjang 11 tahun arwah suami meninggal, memang tidak pernah terbuka hati atau ada perasaan untuk berkahwin lagi. Apabila orang usik saya mengenai soal kahwin, saya akan berasa ‘piss off’.
“Sebenarnya, saya selalu cakap pada orang tak nak, takkan dan tidak mungkin berkahwin lagi. Tiga ayat ini akhirnya saya telan balik sebab Allah yang menggenggam dan membolak-balikkan hati saya.
“Jadi, pada saat saya terlalu cintakan arwah, ternyata Allah berkehendak lain. Allah hadirkan takdir lain untuk saya.
“Arwah sentiasa ada tempat yang istimewa di hati saya. Begitu juga cinta lain daripada orang lain iaitu suami kini akan ada di sisi lain dalam hati saya.
“Jadi, apabila berlakunya perkahwinan ini, ia bukan perancangan saya. Kalau tidak, masakan saya tunggu selepas 11 tahun arwah meninggal dunia baru nak kahwin. Bukan bidang kuasa saya mengenai jodoh. Apatah lagi semuanya berlaku dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya.
Ditanya kenapa baru sekarang dia terbuka berkongsi mengenai perkara itu, Ziela mengakui dalam situasi dilalui dia perlu menjaga hati banyak pihak membabitkan kedua belah keluarga.
“Rakan media yang rapat dengan saya sudah beberapa kali bertanya mengenai perkara ini. Tapi, saya cakap akan kongsikan apabila sampai waktu sesuai. Saya bukan jenis yang suka uar-uarkan sesuatu perkara terutama isu sebegini. Saya tidak bercakap mengenai perkara ini bagi menghormati keluarga suami iaitu isteri dan anak-anaknya.
“Tapi, apabila anaknya membuat ciapan di Twitter membabitkan saya dan hubungan ini, bagi saya dia tidak ada hak untuk buat kenyataan bagi pihak saya. Saya juga ada privasi tersendiri.
“Kalau betul mereka nak perkara ini didedahkan, biar daripada mulut saya sendiri. Bukan daripada mereka dan dengan cara sebegini,” katanya.
Difahamkan, perkahwinan suami bersama isteri pertama dikurniakan enam cahaya mata.
Sementara, Ziela yang berkahwin dengan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob pada 1991 dikurniakan dua anak iaitu Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah. Ziela juga mempunyai seorang anak angkat lelaki, Ibrahim Junid Abdullah.
*Sumber: Harian Metro
Ziela Jalil Akui Hidup Bermadu, Pilih ‘Datuk’ Sebagai Suami Hampir 2 Tahun Lalu
Kelmarin, kecoh di laman sosial berkenaan status perkahwinan Datuk Ziela Jalil yang didakwa telah menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki berpangkat Datuk.
Bagaimanapun, pelakon dan penerbit itu sendiri tampil memberi penjelasan menyatakan bahawa dia tidak berniat merahsiakan perkahwinan dan statusnya sebagai isteri kedua.
Sebaliknya, beliau berbuat demikian kerana demi menjaga hati ramai pihak serta menanti masa yang sesuai untuk berkongsi berita itu kepada umum.
“Sejujurnya, saya terkejut dan sedikit ralat apabila gadis berkenaan terlebih dahulu mendedahkan perkara ini kepada umum menerusi Twitter.
“Pun begitu, saya bersikap positif dengan melihat tindakannya sebagai satu isyarat menandakan masa untuk saya berkongsi berita ini kepada umum sudah tiba,”
Pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu turut mengulas pendedahan yang dibuat oleh seorang gadis yang mendakwa Ziela adalah isteri kedua bapanya di Twitter sebelum ini.
Suami, Datuk Syed Osman Al Habshee adalah Pengerusi Masjid Ibnu Mas’ud. Kami bernikah pada 17 Februari 2019 selepas lima minggu berkenalan.
“Pada awalnya, saya cuba merahsiakan perkahwinan daripada keluarga termasuk anak-anak kerana tidak mahu melukakan hati mereka. Saya tak mahu mereka merasa seolah-olah saya sudah melupakan bapa mereka,”
Bagaimanapun, penerbit berusia 50 tahun itu menegaskan bahawa tiada siapa mampu menggantikan tempat arwah bapa kepada anak-anaknya berikutan dua lelaki yang berbeza.
Ziela atau nama sebenarnya, Norzila Abdul Jalil mengakui sifat terbuka Osman sanggup menerima dirinya yang masih belum mampu melupakan Allahyarham suami adalah penyebab pintu hatinya terbuka semula.
Beliau juga nafi berkahwin kerana harta kerana suaminya itu hanya individu biasa selain tertarik dengan personaliti lelaki berkenaan.
“Bayangkan, selama sebelas tahun saya hidup bersendirian ditemani kenangan bersama arwah suami, sudah tentu agak sukar untuk saya memutuskan untuk berkahwin semula apatah lagi untuk menjalani kehidupan bermadu seperti sebelum ini,”
Terdahulu, beliau berkahwin dengan Tan Sri Megat Junid namun suaminya meninggal dunia akibat kanser prostat pada 2008.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Dr Puteri Julia Nabilah Megat Junid.
*Sumber: BH Online