Pengacara dan selebriti kontroversi, Azwan Ali meminta kerajaan bertindak tegas memenjarakan Neelofa atas kesalahan berulang kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk memerangi Covid-19.
Ia berikutan tular di media sosial video selebriti popular itu meraikan Aidilfitri bersama keluarganya biarpun mereka tinggal berasingan.
Azwan juga turut menggesa dan mencadangkan agar Neelofa dikenakan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukannya itu.
“Dua kali dah kau gelupur langgar SOP. Ini kecoh kali ketiga. Lagi-lagi muka kau. Muhasabah weh, kerana kau rakyat tersinggung dan marah. Apa sumbangan besar kau pada industri hiburan Malaysia!,” tulisnya di Twitter.
“Saya nak jadi orang rakyat pertama gesa kerajaan untuk penjarakan selebriti perasan bagus ini. Siapa setuju? Kasi (bagi) viral (tweet) ini.
Azwan berkata, dia lantang mengecam Neelofa atas tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.
“Ini bukan soal selebriti tegur sesama selebriti. Jangan tanya apa dosa Neelofa kepada saya. Tanya dia, apa yang dia buat Diva AA (Azwan) marahkan dia sangat?
“Dia antara selebriti yang sering dikecam teruk oleh Diva AA. Tanya pada dia, apa dosanya yang saya dendam sampai mati? Itu persoalan yang perlu, dia jawab.
“Kecaman yang berlaku sekarang bukan kerana soal selebriti. Ini soal undang-undang, soal negara yang bermaruah,” katanya kepada Harian Metro.
Azwan juga beranggapan kerajaan bertindak pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman terhadap rakyatnya.
“Orang ini boleh dan orang itu tak boleh. Undang-undang apa namanya? Saya antara rakyat yang akan habis-habisan bercakap berkenaan undang-undang.
“Kalau Diva AA (saya) buat salah, laju sahaja masing-masing menggelupur buat laporan polis, suruh tangkap saya dan masukkan dalam penjara. Esoknya, terus naik turun mahkamah.
“Kenapa apabila Neelofa, diabaikan begitu saja. Apa hebatnya dia? Apa sumbangan dia pada negara dari segi industri hiburan?,” katanya.
Pengacara berpengelaman ini mempersoalkan apa sumbangan besar Neelofa yang boleh dibanggakan.
“Setakat jadi pengacara program MeleTop, apalah sangat. Ini saya buat Juara Lagu, hasilkan drama Lontong dan buat macam-macam karya, sekejap saja kena tangkap dan didakwa di mahkamah.
“Neelofa boleh pula terlepas. Jangan bagi rakyat bertambah marah. Malaysia sekarang diambang kehancuran, kenapa biarkan perkara ini berlaku?,” katanya.
Azwan mendakwa tindakan penguatkuasaan yang lemah membuatkan dia memberontak dalam perkara ini.
“Saya adalah orang pertama yang nak dia dipenjarakan. Saya tak perlukan sokongan ramai dalam perkara ini. Ia adalah pendirian saya sebagai rakyat marhain.
“Saya rakyat yang ada hak di sisi perlembagaan persekutuan. Dah ada undang-undang berkenaan akta penyakit berjangkit, kenapa tak dilaksana atau dikuatkuasakan?
“Menteri sendiri yang kata tiada pilih kasih atau kompromi terhadap mereka yang langgar peraturan. Neelofa juga dah banyak kali buat hal sekali gus dia ego dan keras kepala,” katanya.
Terbaharu, Neelofa dan ahli keluarganya ini menimbulkan suasana bengang di kalangan warganet yang rata-rata sanggup berkorban tidak mengunjungi ibubapa dan sanak saudara serta menziarah kubur bagi mengekang dan memutuskan rantaian Covid-19.
Netizen Cadang Neelofa, Keluarga Dihukum Bersih Tandas, Cuci Longkang
Memetik laporan Harian Metro, hasil tinjauan mendapat rata-rata netizen menganggap Neelofa dan keluarga mempunyai ‘penyakit’ sukakan perhatian.
“Dia ni ada penyakit yang sukakan perhatian. Lepas ni pasti ada lagi. Peliknya dalam rumahnya tinggal beberapa keluarga. Masa ada satu siaran yang tunjuk rumahnya, tak ada lak ahli keluarga tu,” kongsi seorang netizen lagI.
Dalam pada itu, netizen turut mencadangkan Neelofa dan keluarganya dihukum bersihkan tandas atau cuci longkang serta dikenakan jumlah kompaun yang tinggi berikutan kesilapan sama berulang kali dikakukan.
“Jangan kompaun setakat ratus ribu tu, senang-senang je dia bayar. Sepatutnya mahkamah hukum, masukkan adik-beradik dia ni dalam kerja-kerja kemasyarakatan sampai beratus-ratus jam. Tukar-tukar tempat, hari ni bersihkan tandas masjid, esok tandas awam, lepas tu cuci wad kecemasan, bantu abang polis jaga sekatan jalanraya.
“Dah kata dah, dia ni laki bini, sefamili elok dipenjarakan je ikut kesalahan, atau buat kerja-kerja amal macam cuci longkang, kutip sampah, biar rakyat yang ikut SOP ni tengok diaorang buat kerja-kerja tu,” tulis netizen.
“Nampak sangat macam tak endah dan mencabar ditetapkan. Mungkin setakat denda tiada masalah,” tulis netizen lagi.
Terdahulu, Neelofa dan keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP penganjuran majlis sosial serta melanggar kebenaran merentas negeri.
*Sumber: Harian Metro