in , ,

Didakwa Jadi Anak Emas TV3, Ini Komen dari Hael Husaini

Ibarat padang sasar yang sering dihujani peluru, begitulah diibaratkan situasi yang dihadapi penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini, ketika ini.

Ramai yang melemparkan dakwaan penyanyi lagu Jampi dan Haram itu adalah anak emas TV3, hanya kerana tiga lagu nyanyian dan ciptaannya menempah kedudukan pada peringkat Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35).

Bukan sahaja didakwa menjadi kesayangan stesen penyiaran berkenaan, tetapi hubungan baik antaranya dan orang kuat produksi anugerah muzik berprestij juga disalah tafsir apabila ada yang mengaitkan kejayaannya bergelar finalis AJL35 ada kena mengena dengan keakraban yang terjalin.

Menerusi laman Twitter, isu itu menjadi perdebatan netizen tidak berpuas hati dengan keputusan juri ketika episod ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) seperti yang diumumkan, baru-baru ini.

HAEL HUSAINI
Hael Husaini

Pada zahirnya lelaki kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu nampak tenang, namun jauh di sudut hati, terselit perasaan terkilan apabila netizen berterusan mempertikaikan pemilihan lagunya.

Malah, lebih membuatkan bekas pemenang trofi juara AJL dua kali berturut-turut pada 2017 dan 2018 itu terkesan apabila tindakannya menyokong bisnes makanan yang diusahakan kakitangan produksi berkenaan turut menjadi bahan kecaman netizen, perbuatannya seolah-olah ada udang di sebalik batu.

“Orang boleh cakap atau nak syak wasangka apa sahaja, saya tak boleh nak halang mereka. Tetapi, jika nak kata saya anak emas, kenapa baru sekarang, bukannya dari 14 tahun lalu?

“Saya ada dengar dakwaan daripada beberapa pihak. Sejujurnya, saya agak kecewa dengan tuduhan ini. Bagi saya, tak eloklah untuk bercakap seperti memperkotak-katikkan bisnes orang lain hanya kerana saya menyokong perniagaan yang diusahakannya. Saya rasa perbuatan seperti ini tidak adil untuknya. Saya beli kek kerana anak saya sukakannya.

“Tiada istilah jika saya beli kek, akan dapat masuk AJL35. Jika betul saya beli kek dapat masuk AJL35, anda semua belilah kek ini dan semoga anda dapat masuk AJL juga,” jawab Hael secara sinis.

Sejak lagu ciptaannya berjudul Jampi mengungguli trofi juara AJL, tiga tahun lalu, boleh dikatakan saban tahun pasti karyanya ciptaan atau nyanyiannya akan tersenarai ke peringkat akhir.

Menyusul kejayaan Jampi adalah lagu Haram yang dinobatkan sebagai juara AJL pada 2018, ia diikuti lagu Anta Permana yang menduduki tempat ketiga pada malam kemuncak AJL34, tahun lalu.

Pada tahun ini, tiga lagu ciptaannya berjaya melepasi saringan dan layak ke AJL35. Lagu itu adalah Belenggu Rindu, dendangan Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita, Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Hati nyanyian Hael sendiri.

Kejayaannya secara tidak langsung membuktikan penyanyi berusia 33 tahun itu bukan sahaja mempunyai sentuhan emas dalam setiap hasil karya, malah namanya juga bagaikan satu lesen besar untuk penyanyi yang mahu bergelar finalis acara anugerah berprestij itu.

Tergelak besar pemilik nama lengkap Hal Husaini Razmi ketika diajukan pertanyaan yang tidak disangka-sangka itu. Menyifatkan peluang yang diberikan sebagai rezeki, Hael bagaimanapun menafikan, dakwaan nakal itu kerana pernah terjadi tuah tidak memihak kepada dirinya.

“Tak semua lagu ciptaan layak ke AJL. Ada juga yang tak lepas. Bagi saya, itu semua bergantung kepada rezeki. Saya bukanlah sesiapa yang boleh memberi jaminan setiap lagu yang dicipta boleh mara ke peringkat AJL. Malah, setiap kali menghasilkan lagu, saya tak pernah meletakkan sasaran untuk karya melangkah ke AJL.

“Ada 30 lagu yang bertanding untuk peringkat separuh akhir dan semuanya ada kekuatan tersendiri. Mungkin rezeki dan tuah memihak pada saya kali ini. Janganlah marah-marah. Lagipun, saya hanya menyanyikan satu lagu sahaja iaitu Hati. Siapa tahu tahun depan giliran penyanyi lain pula berjaya ke melangkah ke AJL,” jelasnya ketika ditemubual kapsul hiburan BHTV, Apa Kes? baru-baru ini.

Selain berbakat besar dalam penciptaan lagu, Hael juga dikenali sebagai penyanyi yang sering tampil bergaya setiap kali membuat persembahan. Malah, cita rasanya dalam berpakaian juga sangat tinggi, manakala penampilannya daripada hujung rambut hingga hujung kaki begitu dijaga rapi.

Disebabkan sifatnya yang mahu kelihatan sempurna di mata khalayak, timbul spekulasi yang mengatakan pasangan duet penyanyi Dayang Nurfaizah menerusi lagu Haram itu sanggup melakukan pembedahan kosmetik di bahagian wajah semata-mata untuk kelihatan segak.

Mengulas dakwaan itu, Hael berkata, ada perubahan pada wajahnya, tetapi bukanlah disebabkan pembedahan kosmetik seperti yang digembar-gemburkan.

“Kacak sangat ke saya sampai dituduh melakukan pembedahan wajah? Saya rasa macam biasa sahaja. Mungkin perubahan berlaku apabila saya mencukur jambang yang dibela, sejak sekian lama. Sebelum ini, saya terikat dengan kontrak yang memerlukan saya tampil seperti seorang yang berusia, jadi kenalah simpan jambang.

“Saya tak percaya untuk kelihatan kacak, kena buat pembedahan wajah. Kita ada penata gaya dan tatarias yang boleh merubah penampilan. Saya bukanlah seorang yang obses untuk mengubah wajah. Apa yang anda lihat pada saya sudah cukup sempurna. Wajah saya ‘ori’ tau,” ujarnya sambil tertawa.

Beralih single baharu berjudul Lara yang menyaksikan Hael berkolaborasi dengan rakan baik, Haqiem Rusli dan Naim Daniel, bekas peserta Akademi Fantasia 2010 itu menepis tanggapan kononnya, lagu itu dihasilkan semata-mata untuk membuktikan vokal siapa paling hebat.

Tegas Hael, tiada istilah berlawan vokal, sebaliknya setiap penyanyi diberi peluang sama rata.

“Ketika single Lara dihasilkan, saya tak terfikir langsung untuk menjadikannya sebagai platform untuk berlumba vokal. Struktur lagu ini disusun seimbang dan setiap penyanyi dapat mendendangkan dengan cara tersendiri tanpa perlu bersaing. Mereka juga berpeluang memberikan input setiap rangkap yang dinyanyikan.

“Malah, Haqiem dan Naim juga menulis sendiri lirik untuk rangkap masing-masing supaya lebih menghayati, sekali gus menjadikan single Lara sempurna. Saya perlu bertindak adil, memandangkan ia disampaikan secara trio,” jelasnya.

*Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Vokalis Neon Band, Ezwan Ariff Cuba Bergerak Solo, Pertaruh Single MISTERI

Oppo Reno5 Bakal Berada di Pasaran Malaysia Pada Januari 2021 Ini