Menurut laporan Harian Metro, bagaimanapun tertuduh yang berusia 25 tahun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.Mengikut kertas pertuduhan, pemilik nama Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail itu didakwa melakukan kegiatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 22 tahun di Blok Empire City, Damansara Perdana.
Dia yang diwakili seorang peguam, Syed Amirul Syed Edros didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama 20 tahun atau menerima hukuman sebat.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwaraya Vitiya Monisha Paranthaman tidak menawarkan sebarang bentuk jaminan terhadap tertuduh dengan alasan ia merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 jika mahkamah membenarkan dengan syarat-syarat tambahan.
Selain itu, peguam Da’i Syed meminta tertuduh dibenarkan jaminan atas sebab mahkamah masih mempunyai budi bicara.
“Tiada risiko anak guam saya akan melarikan diri selain dia memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.
“Saya juga memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum memandangkan pendapatannya terjejas kerana Covid-19,”
– Peguam Da’i Syed
Justeru, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan dan tidak mengganggu mangsa.
Sumber: Harian Metro
Pendakwah Selebriti Didakwa Seks Luar Tabii Dan Cabul Pelajar Wanita
Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini, atas dua tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita.
Syed Shah Iqmal, 25, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin dan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Terdahulu, tertuduh yang berbaju kemeja-T biru itu tiba di perkarangan kompleks mahkamah kira-kira jam 10 pagi diiringi anggota polis dan sempat melemparkan senyuman kepada petugas media menunggu seawal jam 8 pagi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang mangsa berusia 22 tahun di rumah sewanya, di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana di sini, antara jam 3 hingga 4 pagi, pada 17 Oktober lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa sama.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat, tarikh dan masa sama serta didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, P Vitiya Monisha dan Zamriah Zarifah Aris tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana membabitkan kesalahan serius dan berkepentingan awam.
“Sekiranya tertuduh dibenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan RM100,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa sepanjang kes dibicarakan,” katanya.
Vitiya Monisha turut memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Syed Amirul Syed Edrus dan Mohd Fikah Sanusi memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan.
“Sepanjang siasatan dengan polis, tertuduh memberikan kerjasama yang baik dan tiada risiko melarikan diri.
“Pihak kami juga tiada bantahan terhadap sebarang syarat tambahan yang akan dikenakan mahkamah bagi membolehkan tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Majistret memerintah tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.
*Sumber: BH Online