Apple kini mengesahkan Apple Marina Bay Sands, Apple Store pertama yang terapung di atas air akan dibuka pada 10 September ini. Menurut Apple, Apple Marina Bay Sands menempatkan 148 pekerja yang bertutur dalam lebih dari 23 bahasa.
Untuk pembukaan pada Khamis ini, Apple menyatakan lawatan ke Apple Store ketiga di Singapura itu hanya akan dibuka kepada pengunjung yang telah membuat janji temu sahaja. Ia bertujuan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan pengunjung.
Orang ramai yang ingin melawat cawangan Apple Store tersebut akan perlu menempah tempat mereka melalui laman web ini tetapi pada waktu artikel ini ditulis, nampaknya semua slot untuk hari pembukaan cawangan tersebut sudahpun dipenuhi.
Dalam pada itu, Apple turut memperlihatkan rekaan dalaman Apple Store tersebut. Dikelilingi sepenuhnya oleh air, Apple Marina Bay Sands menawarkan pemandangan panorama 360 darjah.
Ia membawakan rekaan berbentuk bulat dan terapung di permukaan air. Dengan rekaan berasaskan kaca, ia sekaligus membenarkan cahaya semula jadi measuki ruang kedai sepanjang masa.
Seni bina bebola kaca ini terdiri daripada 114 kepingan kaca dengan hanya 10 tiang menegak untuk sambungan struktur. Sebahagian seni bina Apple Store ini juga diinspirasikan daripada Pantheon di Rome.
Terdapat juga ruangan The Forum yang akan menjadi pentas untuk sesi Today at Apple dimana ia akan menampilkan artis, ahli muzik dan pengkarya Singapura.
Sumber: Apple