DOKUMENTARI KHAS MERDEKA: DIARI PASUNG I.S.A PADA 26 DAN 27 OGOS 2008 DI RTM1
Bertitik tolak daripada realiti situasi dalam negara yang sejak kebelakangan ini timbul pelbagai permasalahan berlaku yang impaknya ternyata menyumbang kepada menjejaskan keamanan dan keharmonian negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggalas tanggungjawab membantu kerajaan menjelaskan situasi sebenar menerusi dokumentari khas untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai melibatkan soal Akta Keselamatan Dalam Negeri atau dikenali I.S.A.
Pastinya usaha dan inisiatif pihak RTM menyiarkan Diari Pasung I.S.A, Dokumentari Khas Merdeka pada 26 dan 27 Ogos 2008 (Selasa dan Rabu), jam 09.00 malam menerusi RTM1 berfungsi dalam menyampaikan maklumat sebenar berkaitan I.S.A yang tidak semua kelompok masyarakat terdedah tentang perkara ini apatahlagi negara kita, Malaysia tahun ini bakal menyambut ulangtahun ke 51 tahun kemerdekaannya.
Diari Pasung I.S.A terbitan Bahagian Hal Ehwal Awam RTM ini cuba menyingkap dan menyelami kepentingan Akta Pencegahan yang mempunyai tiga cabang di dalamnya iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri, Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) yang mempunyai satu tujuan iaitu menjaga kepentingan negara dan ketenteraan awam.
Menerusi dua episod siarannya, Diari Pasung I.S.A mengetengahkan pelbagai persoalan yang cuba di tonjolkan kepada penonton. Ia jelas meliputi perasaan ketidakpuasan hati orang ramai tentang kepentingan I.S.A yang sebenarnya berfungsi menyumbang kepada membentuk keamanan negara kerana tujuannya menghalang sebarang penentangan dan debat terbuka di kalangan masyarakat.
Malah menariknya Diari Pasung I.S.A turut berkongsi pendapat beberapa orang penganalisis politik berhubung tentang hak-hak kemanusiaan yang sepatutnya dimiliki penghuni pusat tahanan I.S.A.
Selain itu penonton berpeluang menyelami perasaan individu terlibat sekaligus mendapat pendedahan realiti orang bergelar ‘orang tahanan’ yang sebelum ini jarang sekali dapat dikongsi dengan masyarakat di luar sana. Di samping aktiviti sampingan yang dilakukan mereka sepanjang tempoh menghuni pusat tahanan I.S.A itu.
Ternyata penyampaian mesej yang bertujuan untuk memberi pemahaman kepada orang ramai tentang kepentingan akta ini dalam negara Malaysia diharap sampai dan mampu diselami penonton yang meluangkan masa menonton sekaligus memupuk kesedaran mereka.
Jangan ketinggalan menyaksikan dan berkongsi pengetahuan lebih mendalam berkaitan I.S.A ini menerusi Diari Pasung I.S.A, Dokumentari Khas Merdeka pada 26 dan 27 Ogos 2008 (Selasa dan Rabu), jam 09.00 malam di RTM1.