LOS ANGELES: Kejutan berlaku apabila Michael Jackson bukan saja menamakan ibunya sebagai penjaga anak-anaknya dalam surat wasiat malah penyanyi legenda, Diana Ross sebagai penama kedua. Perkara itu terdedah selepas surat wasiat lima muka surat yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles, dikemukakan di mahkamah semalam.
Ia juga menyebut pembahagian harta untuk Ross, 50, perlu ditinggalkan dalam Amanah Keluarga Michael Jackson. Surat wasiat itu didaftarkan pada 2002 juga menyebut nilai harta Michael berjumlah lebih AS500 juta tetapi tidak jelas bagaimana angka penilaian itu dibuat.
Michael bagaimanapun dipercayai berdepan dengan masalah hutang yang bertimbun menjelang kematiannya. Dalam surat wasiat itu, ibu Michael, Katherine Jackson dinamakan sebagai penjaga tiga anaknya manakala Ross, 65 dinamakan sebagai pengganti Katherine sekiranya emaknya meninggal dunia terlebih dulu.
Tiga rakan rapat Michael, peguam John Branca, eksekutif muzik, John McClain dan akauntan Barry Siegel — dinamakan sebagai pelaksana bersama wasiat itu. Bagaimanapun, bapanya, Joe tidak langsung disebut dalam wasiat serta nama bekas isterinya, Debbie Rowe.
Diana Ross dan Michael Jackson masa American Music Awards pada 17 Januari 1984
“Saya secara sengaja tidak memasukkan apa-apa hak untuk bekas isteri saya, Deborah Jean Rowe Jackson dalam wasiat ini,” kata Michael dalam wasiat bertarikh 7 Julai 2002 itu. Jika saya meninggal, hak penjagaan anak-anak saya diserahkan kepada emak saya, Katherine Jackson, Jika Katherine Jackson gagal atau tidak mahu menerima tanggungjawab itu, saya menamakan Diana Ross sebagai penjaga,” katanya.
Isnin lalu, mahkamah membuat keputusan Katherine sebagai penjaga sementara tiga anak Michael – Prince Michael, 12, Paris, 11, dan Prince Michael II, 7. – AFP