Selain membawa sejambak bunga mawar dan sebentuk cincin untuk menambat hati isterinya, Diana Danielle, 32, aktor tersebut juga dilihat cuba memujuk Diana ketika di luar dewan bicara di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Bagaimanapun, semuanya ditolak, malah lebih mengejutkan pihak media turut melihat berlaku sedikit kekecohan ketika sesi memujuk dilakukan.
Farid dilihat cuba menjelaskan sesuatu sambil disaksikan peguam kedua-dua pihak, namun ketika Farid cuba memeluknya, Diana menepis dan beredar.
Wajah Diana kelihatan marah kemudiannya ditenteramkan oleh peguam mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Terdahulu, Farid tiba di mahkamah di sini kira-kira jam 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana. Namun, bunga mawar merah tersebut dibiarkan begitu sahaja.
Malah, Farid yang juga membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan yang ke-11, turut tidak diambil oleh Diana.
Farid dan Diana hadir ke mahkamah di sini kira-kira jam 9 pagi untuk pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Terdahulu, pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.