in , ,

Diana Danielle Pernah Hidup Susah Tanpa Rumah dan Wang Ketika Kecil

Terpaksa berpindah-randah sebanyak 11 kali, tiada rumah, wang, makanan, dan terpaksa menumpang rumah orang lain.

Itulah realiti kehidupan yang pernah dilalui oleh aktres popular, Diana Danielle, 33, ketika zaman kanak-kanaknya yang penuh dengan kesusahan dan cabaran. Diana berkongsi bahawa dia dibesarkan oleh ibunya, seorang ibu tunggal yang turut berjuang untuk kelangsungan hidup mereka.

“Saya datang dari latar belakang yang sangat sukar. Kami pernah berada dalam situasi di mana tiada rumah untuk didiami, dan terpaksa menumpang di rumah keluarga dan kawan-kawan. Ibu pula tidak bekerja selama dua tahun,” kata Diana.

Dia menceritakan pengalamannya berpindah sebanyak 11 kali dalam tempoh yang singkat.

“Kami hanya mempunyai beg sandang untuk membawa barang-barang kami, dan saya masih kecil, berusia sekitar 10 hingga 12 tahun. Ibu saya jatuh sakit dan kehilangan perniagaan yang kami bergantung hidup,”

– Diana

Diana juga mendedahkan betapa terdesaknya keadaan mereka ketika itu, “Kami memang tidak mempunyai duit langsung. Untuk membeli sebungkus nasi lemak yang berharga RM1 pun kami tidak mampu. Inilah sebab utama mengapa saya mula berlakon dengan lebih serius, untuk membantu menyara keluarga.”

Dalam perbualan menerusi podcast di YouTube Debonair Podcast yang dikendalikan oleh Deborah Henry, Diana menegaskan bahawa pengalaman hidup yang sukar itulah yang menjadikannya lebih menghargai kehidupan dan tidak terlalu mengejar kebendaan.

“Saya sedar kebendaan hanyalah kebendaan, dan duit hanyalah duit. Semua orang ingin menjadi jutawan, tetapi saya menentang pandangan itu kerana ia boleh menjadi gangguan. Disebabkan itu, ramai orang menjadi tertekan kerana tidak dapat memenuhi jangkaan masyarakat terhadap kita,” tambahnya lagi.

Pengalaman hidup yang penuh dengan cabaran ini telah membentuk Diana menjadi seorang yang lebih berjiwa besar dan lebih menghargai apa yang dimiliki tanpa terlalu mengejar harta benda semata-mata.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SHUIB

Shuib Ajak Orang Ramai Sedar Bahayanya Buli Siber Selepas Kes Esha

motherwit

Motherwit Lancar Single Balada Pertama ‘dan bila’ Bersama Sara Razz