ISU ketiadaan Datin Diana Danielle ke mahkamah sepanjang sebutan kes suaminya, Datuk Farid Kamil kini menjadi sebutan di bibir netizen.
Hari ini, Diana telah kelihatan memberi sokongan kepada suaminya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor.
Farid turut sempat melahirkan rasa cintanya terhadap isteri tersayang ketika dibawa ke bilik reman dan turut merindui kedua-dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora.
“Alhamduilillah, saya baik sahaja. Saya rindu anak-anak. Saya sayang Diana,” kata Farid dipetik daripada mStar Online.
Ketika ini, pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu sedang menunggu keputusan perbicaraan sama ada dia akan dibebaskan hari ini atau tahanan reman ke atasnya akan disambung semula.
Semalam, isteri kepada pelakon dan juga pengarah itu ada memuat naik satu gambar quotes di laman Instagram miliknya yang menjelaskan tentang ketiadaannya di mahkamah ketika sebutan kes di mahkamah semalam.
“Sayangku FK (Farid Kamil). Jangan tanya kenapa anda (netizen) tidak melihat saya. Dia (Farid) ‘nampak’ saya dan tahu saya ada di sana.
“Dia dapat merasakan tangan saya menggenggam tangannya. Dan semua itu yang lebih bermakna buat saya,” tulisnya di ruangan caption.
Bagi Diana, dia langsung tidak mahu ambil pusing tentang apa yang dikatakan oleh orang sekeliling kerana baginya, Farid sentiasa merasai kehadirannya walau di mana sahaja.
Dalam masa yang sama, ada maksud yang tersurat turut ingin disampaikan oleh Diana di dalam postingnya semalam tentang betapa kuatnya jalinan cinta antara mereka walau apa yang terjadi ketika ini.
Bagaimanapun, seperti biasa Diana telah menutup ruangan komen di laman Instagarmnya supaya tidak dibanjiri oleh aura negatif yang sering menjadi parasit keadaan.
Dengan adanya posting gambar tersebut, secara langsung telah menjelaskan kepada orang awam sendiri tentang sebab dia tidak berada di sisi suaminya ketika kes disebut.