Pelakon Diana Amir mengesahkan akan bernikah dengan tunangnya, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah, iaitu Mohd Habibbullah A Rahman pada 25 Oktober ini.
Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, berkata, majlis pernikahan itu bakal berlangsung pada pukul 9 malam di Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.
“Saya dan tunang akan bernikah pada 25 Oktober ini di Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. Walaupun tinggal beberapa hari saja lagi, masih ada lagi persiapan yang belum disiapkan.”
Diana ditemui pada majlis sidang media pengumuman pernikahannya di pejabat Metrowealth International Group (MIG) di sini pada petang Jumaat.
Pasangan tersebut telah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon itu.
Dalam pada itu, Diana berkata, pada majlisnya nanti, dia mahu mengikut tata tertib pernikahan daripada sudut Islam yang sebenar memandangkan kebanyakan pasangan keliru antara agama dan adat Melayu.
“Pada majlis pernikahan nanti, saya akan mengikut tata tertib Islam dengan bantuan khidmat nasihat beberapa ustaz. Ia jarang diguna pakai oleh pasangan Melayu dan kerana itu saya mahu tonjolkan konsep Islam sebenar dalam sesebuah acara pernikahan. Malah saya juga tidak akan menyediakan sebarang dulang hantaran yang mahu menunjukkan jenama-jenama barangan yang diberi melainkan sebuah kitab Al-Quran, mas kahwin dan cincin.”
Bagaimanapun Diana dan pasangannya itu masih belum memilih tarikh sesuai untuk mengadakan resepsi bagi kedua-dua belah pihak.
Sementara itu, Habibbullah yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata, dia bersyukur kerana bakal memperisterikan seorang wanita yang mementingkan keluarga dan penyayang lebih-lebih lagi melihat kemesraan Diana dengan keluarganya.
“Sebelum ini saya memang mencari wanita yang mementingkan keluarga dan perkara itu jelas dilihat pada Diana. Ini kerana selepas dua kali kami bertemu, saya lihat Diana semakin mesra dengan keluarga saya. Malah, walaupun saya berada di Kedah untuk bekerja, Diana cukup selesa melayani keluarga saya.” – Sumber: Mstar Online