SEBELUM ini isteri pertama pemuzik bebas, Ude iaitu Intan Liyana Saleh pernah mengambil keputusan rela bermadu dengan aktres jelita, Izreen Azminda.
Namun kali ini, kesabaran Intan sekali lagi diuji apabila dia dan suami hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi urusan lafaz cerai yang difailkan pada 30 November 2017.
Susulan itu, Intan mengakui dirinya kini redha dengan apa yang telah ditentukan oleh takdir dan keputusan dilakukan suaminya, termasuk perpisahan.
“Saya bukan wanita terbaik untuk Ude dan dia sudah jumpa yang lebih baik untuk dirinya. Saya doa yang terbaik untuknya pada masa mendatang,” luah Intan dipetik BH Online, hari ini.
Ditanya mengenai soal hak penjagaan anak, Intan berkata dia dan ude bersepakat untuk tidak membawa perkara tersebut ke mahkamah sebaliknya hal itu adalah atas perbincangan dan budi bicara mereka bersama.
Menurut Intan lagi, hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-5 dan hari bahagia itu sepatutnya diraikan bersama.
Tapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana Intan diuji dengan dugaan selain mengaku dirinya perlu menerima hakikat beliau harus tabah untuk hidup sebagai ibu tunggal kepada dua anak.
“Orang selalu cakap, dalam tempoh lima tahun memang akan ada banyak dugaan dalam perkahwinan. Jelas sekali, inilah dugaan buat saya yang perlu saya lalui,” katanya.
Pada Rabu, Ude dan Intan hadir di mahkamah bagi urusan lafaz cerai selepas pemuzik tersebut memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan.
Memetik sumber difahamkan, Ude dijangka melafazkan talak terhadap Intan pada 22 Mac depan selepas Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut ketika prosiding.
Sumber: Berita Harian