in ,

“Dia Sudah Akui Salahnya & Minta Maaf,” – Norhisham Mohon Jangan Kecam Jamal Abdillah

Semoga menjadi pengajaran buat semua khususnya selebriti agar menjaga SOP tatkala ramai yang kini terkesan dengan pandemik Covid 19.

Yang Di Pertua Kelab Keharmonian Kerajaan Malaysia, Datuk Norhisham Nasrom meminta masyarakat jangan terus menghukum penyanyi, Datuk Jamal Abdillah atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Khamis lalu. 

Norhisham melahirkan perasaan simpati apabila penyanyi ini berterusan dikecam sedangkan kesalahan itu dilakukan tanpa sengaja. 

“Bagi saya, perkara ini dikira agak kecil. Kadang-kadang bila peminat jemput makan durian seulas dua, takkanlah dia nak menolak. 

“Nanti orang anggap dia sombong dan keluar cerita lain pula. Dia memang seorang yang sangat merendah diri dan senang didekati. 

“Malah, dia pun sudah mengakui kesalahannya dan minta maaf serta sanggup terima kompaun nanti. Jadi apa yang mereka tidak puas hati lagi,”

– Datuk Norhisham Nasrom
JAMAL

Kekecohan tercetus apabila Jamal yang pergi ke tempat pembekal baja ikan di ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak bagi mendapatkan baja untuk kolam ikan yang diusahakannya memenuhi pelawaan makan durian sambil berkaraoke sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati segelintir pihak yang menularkan gambar dan video di media sosial. 

Rentetan itu, Jamal dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Tapah, petang Ahad lalu. 

Norhisham yang juga ahli perniagaan di Bukit Merah, Perak yang mengenali Jamal enam tahun lalu mengakui, Jamal mudah mesra dengan sesiapa saja. 

“Perkenalan kami bermula apabila bertukar-tukar idea dalam perniagaan pasir dan kolam ikan hiasan. Ia bertambah akrab apabila kami bekerjasama menganjurkan program amal bagi membantu masyarakat di sekitar Bukit Merah. 

“Kerja amal kami sudah masuk tahun kedua termasuk yang terbaru pada 26 Jun lalu. Turut sama ialah Pertubuhan Kebajikan Kampit Rezeki Negeri Perak,” katanya. 

– Datuk Norhisham Nasrom

Sumbangan barangan keperluan dapur dibuat di kolam ternakan ikan kelisa membabitkan 300 penerima terdiri daripada asnaf dan anak-anak yatim. 

“Sesiapa saja masyarakat di sini nak minta bergambar dia tak menolak. Itulah dia keperibadian Jamal. Selepas peristiwa ini, saya nampak moralnya agak menurun dan menasihatkan dia supaya sabar dan anggap sebagai ujian. 

“Kalau dilihat memang ada yang tak suka dia tapi bukan semua. Sayangnya kebaikan dia orang tak nampak, manakala kesalahan yang kecil itu orang akan besarkan,”

– Datuk Norhisham Nasrom

Norhisham turut mengakui Jamal seorang yang mempunyai minat mendalam terhadap kolam ikan ternakannya. 

“Kolam ikan kelisa tak sama dengan ikan laut. Ikan kelisa perlukan pemantauan kerana harganya mencecah ribuan ringgit. Jika tidak, boleh sebabkan kerugian besar. 

“Jamal sangat ambil berat dan selalu dapatkan nasihat daripada pakar. Jika sekiranya dia tak datang dan serahkan sepenuhnya kepada pekerja, rasanya ikan boleh mati. 

“Dia kena pantau pekerja buat kerja ikut cara yang betul. Semasa PKP tiada tawaran persembahan, jadi dia ada masa untuk tengok kolam ikan. Walaupun sebagai boss, tapi dia juga turun membersihkan kolam ikan bersama pekerja,”

– Datuk Norhisham Nasrom

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selebriti Wanita Ditahan Polis, Disyaki Positif Dadah Jenis Methamphetamine

Dulu Pernah Nak Bersara di Usia 50, Ramlah Ram Akui Hasrat Itu Hanya Pendam Dalam Hati