Memetik Utusan, Elyssa berkata hatinya terbuka untuk menerima Aizat sebagai teman hidup kerana merasakan penyanyi itu mampu menjadi imamnya sekaligus menguatkan nalurinya bahawa dia adalah lelaki yang tepat.
“Terus-terang, apa yang membuatkan saya suka pada dia ialah pegangan agamanya. Dia nampak sangat ‘chill’ dan tentunya semua orang nak berubah ke jalan yang baik. Aizat adalah lelaki pertama yang imamkan saya waktu bulan puasa tahun lepas.
“Jadi, ia buat saya rasa dia mampu bimbing saya ke arah lebih baik. Bagi saya, dia mempunyai hati yang sangat besar di sebalik orang tengok dia begitu. Sekarang ini, kalau kami pergi solat, memang dia akan jadi imam saya, Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Elyssa tidak dapat mendedahkan lebih lanjut mengenai majlis perkahwinan mereka dan menyerahkan kepada Aizat untuk memaklumkan kepada umum.
“Insya-Allah, tentunya kami akan adakah majlis besar kami nanti. Cuma, biarlah Aizat sendiri yang beritahu kepada semua, lebih manis begitu. Lagipun hubungan kami ini masih baru dan kami nak ‘take it slow’,” katanya.
Berkongsi mengenai perkenalan mereka, Elyssa berkata pada awalnya mereka hanya bersahabat dan sering menjadi teman makan. Ujarnya lagi, dia terlebih dahulu mengenali adik Aizat namun Allah lebih tahu mengenai jodoh mereka.
“Peliknya, saya kenal adik dia dulu, Alif dan kawan-kawan baiknya yang lain, tapi tidak dirinya. Itulah yang dinamakan jodoh agaknya, pusing jauh macam mana pun, tetap jodoh. Nak jadikan cerita, mak saya pun kenal dengan arwah ayah Aizat.
“Bagi saya, perkenalan dan hubungan saya ini sudah diatur cantik oleh Tuhan. Kami berdua pun suka makan. Saya tak pernah kenal lelaki yang suka makan macam saya, dan dia pula tak pernah kenal mana-mana perempuan yang makan banyak daripada dia. Agaknya dari situ timbul rasa suka,” katanya.
Untuk rekod, Elyssa pernah menjadi hos untuk program Jom Wayang disaluran HyppTV dan kemudian menjadi penyampai di stesen radio RAKITA.