in

“Di Mana Mereka Letak Nilai Kami Sebagai Artis Lama?” – Azzan Scan

Agak mustahil untuk menetapkan harga setimpal sekiranya terdapat segelintir artis sering “menjahanamkan” pasaran (market) kerana sanggup menerima bayaran rendah.

Kata vokalis kumpulan Scan, Azzan, sikap segelintir artis yang berbuat demikian hanya mengakibatkan ada rakan seperjuangan lain seperti dizalimi apabila tidak diberikan bayaran yang munasabah.

“Ada promoter tawarkan RM500 untuk kumpulan kami buat persembahan di luar bandar selama sejam, manakala kos lain termasuk penginapan, makan minum dan minyak kami kena uruskan sendiri.

“Di mana mereka letak nilai kami sebagai artis lama? Ikutkan dah berpuluh tawaran kami tolak,”

Apa yang menjadi masalah, kata Azzan, ialah jika tawaran tersebut ditolak ia tidak begitu menjejaskan penganjur acara terbabit. Hal itu kerana, tambahnya, akan ada artis lain yang rela menyambut tawaran berkenaan walaupun tidak berbaloi.

“Pasaran pun jahanamlah, susah nak lawan isu macam ini,” katanya.

Menurut Azzan atau nama sebenarnya Noorhazan Rashid, dia pasrah dengan situasi didepani namun berharap harga seni mereka tidak diperlekehkan orang dalam industri sendiri.

“Apa saya boleh buat hanyalah berdoa semoga mereka ini semua terbuka hati untuk menghargai artis lama seperti kami.

“Kami sedar kami siapa, tak pernah sekali pun mintak harga seperti bulan dan bintang.

“Kami tahu kami bukanlah Awie mahupun Amy Search,” katanya.

Azzan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu–lagu Guzzbuzz Productions yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Melalui kerjasama dengan Guzzbuzz Productions itu, Azzan merakamkan dua single berjudul Kasih dan Selamat Hari Ulang Tahun iaitu lagu ciptaan untuk isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

Selain Azzan, Guzzbuzz Productions turut memperkenalkan empat lagi penyanyi di bawah pengurusan mereka iaitu Akid Aly, General Ling, Z-Loco dan Ize Suliman.

Azzan, 51, juga mendedahkan senario bertambah buruk apabila ada promoter menggunakan alasan tiada bajet atau ‘harga kawan-kawan’ untuk mewajarkan tindakan mereka.

Penyanyi Kau Dipaksa Aku Terpaksa itu menegaskan, mana-mana artis wajar menjaga pasaran mereka serta tidak menerima bayaran semberono.

“Sampai bila nak guna alasan tiada bajet? Kalau sudah berani tawarkan persembahan, pasti sudah ada dana tertentu,” katanya.

Disebabkan hal itu, katanya, dia lebih rela mengusahakan perniagaan walaupun hasilnya tidak setinggi persembahan pentas.

“Saya beritahu isteri yang merangkap pengurus supaya berniaga sajalah jika tak ada bayaran setimpal.

“Lebih baik berniaga walaupun dapat RM100 atau RM200 saja daripada terima bayaran tak masuk akal,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Sulung Zizan Nin, SAZALI MEOR COCO Pertaruh Pelakon Baharu

“Saya Mahukan Seorang Yang Tampan, Tinggi, Pandai Bahasa Inggeris,”