Pasangan selebriti Johan dan Ozlyn tidak lupa untuk melakukan kerja amal dalam diam diam. Sikap Johan yang kerap menderma hingga diberikan rezeki yang murah telah menjadi viral apabila pasangan ini terlibat sebagai sukarelawan dalam misi bantuan yang dilakukan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) mengagihkan bantuan makanan kepada penggiat seni baru-baru ini.
Johan bukan sahaja menghulurkan angpau kepada pasukan sukarelawan malah turut menghulur duit sebanyak RM300 kepada artis lain. Johan juga dikatakan sentiasa bersedekah juadah makanan tengah hari pada hari Jumaat di Masjid Bukit Antarabangsa.
Sekitar beberapa hari lepas, pihak kerajaan telah menguar-uarkan akan memberi bantuan sepanjang tempoh PKP sehingga tempoh yang ditentukan. Malah, ada juga sesetengah golongan ternama di Malaysia dengan senang hati turun padang membantu dari segi kewangan mahupun tenaga dan usaha.
Baru-baru ini, beberapa orang pereka fesyen terkenal antaranya, Datuk Radzuan Radziwill memulakan satu projek pakaian pelindungan diri (PPE) untuk kegunaan para petugas di pusat kesihatan. Usaha tersebut mula dilakukan atas rasa tanggungjawab setelah mendapat tahu para petugas terpaksa menjahitnya sendiri untuk kegunaan harian kerana keperluan sedia ada tidak mencukupi.
Atu & Isterinya, Shafeeqa Johari Jahit Peralatan Pelindung Diri (PPE)
Walaupun tidak mampu menghulurkan bantuan kewangan, pelawak Atu Zero dan isterinya, Shafeeqa Johari kini bertungkus-lumus membantu menjahit peralatan pelindung diri (PPE) untuk petugas hospital.
Katanya, dia terpanggil membantu barisan hadapan selepas melihat hantaran seorang jururawat di laman Facebook meminta bantuan mana-mana pihak yang sudi menjahitkan baju itu.
Tomok & Rakan-Rakan Ikut Sama Hulurkan Bantuan Makanan
Sudah masuk hari PKP2 dilaksanakan, pengorbanan dan jasa pasukan barisan hadapan terus dihargai ramai. Terbaru, penyanyi Tomok turut tidak terkecuali menunjukkan tanda terima kasih dengan menghulurkan bantuan makanan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Menurutnya, bantuan ini bukanlah daripada dirinya sahaja tetapi turut disertai beberapa rakan artis lain seperti Black, Achey dan Shuib Sepahtu. Walaupun masih ada beberapa pihak yang tersinggung dengan kenyataannya berhubung isu meminta dana khusus untuk artis, rata-rata netizen memberikan reaksi positif dengan tindakannya itu.
Shahrol Shiro Tolong Orang Kampung
Enggan terpalit dalam isu yang tercetus antara netizen dan selebriti sejak akhir-akhir ini, pelawak, Shahrol Shiro tidak berlengah menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bersama teman-teman, Shahrol mengambil inisiatif membantu penduduk kurang bernasib baik di kampung halamannya di Kluang, Johor.