Pencapaian itu adalah sesuatu yang membanggakan buat penyanyi dan komposer muda itu yang pernah tampil bersama single Kembali (2019), Sepi (2021), Pergi Jauh (2022), Kamu dan Dia (2022) dan Sayang Sayang (2022).
Meskipun sudah lebih empat tahun berlalu, Derita masih menjadi siulan ramai. Sebagai tanda penghargaan atas sokongan luar biasa itu, Isma Sane merakamkan semula lagu tersebut dalam versi baharu menggunakan piano dan string.
Pengarah Beegood Music, Amir Arshad berkata, rakaman semula itu dibuat untuk memberi ruang kepada peminat menghayati lagu itu dari sudut baharu dan lebih segar.
“Cukup istimewa apabila versi baharu ini menggunakan piano dan ‘string’. Kami mahu peminat turut sama merasai dan menghayati penyampaian Isma Sane dalam versi ini.
“Pemilihan instrumen piano dan ‘string’ bersesuaian dengan emosi dan melodi lagu itu. Lagu ini penuh dengan emosi dan untuk membangkitkan lagi kesedihan, kami rakamkan semula dengan vokal terbaharu.
“Terdapat beberapa bahagian tambahan pada lagu ini, terutama dari sudut lirik. Lagu ini dipilih kerana sudah menjadi ‘trademark’ Isma Sane. Apabila menyanyikan Derita, orang sudah tahu itu dia. Lagu ini sangat dekat dengan peminat Isma Sane,” katanya.
Sebagai rangka promosi lagu yang dilancarkan di semua platform muzik digital sejak 16 Disember lalu, Beegood Music merancang untuk mengadakan siri jelajah di 10 sekolah menerusi program Beegood At School.
“Kami mahu membawa elemen ‘education entertainment’. Menerusi sesi itu, turut diadakan perkongsian berkenaan kesihatan mental. Kami mahu membawa beberapa artis, termasuk doktor untuk menerangkan perkara itu.
“Selain itu, kami juga mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kesihatan mental untuk turut serta,” katanya.