Sekiranya anda berada sekitar Taman Melawati, Ampang pastinya anda akan mendengar dentuman kuat yang berlaku jam 12 tengah hari tadi. Dentuman kuat yang berlaku difahamkan melibatkan dua buah helikopter yang terhempas.
Berdasarkan laporan daripada Pengarah Bomba Selangor, insiden yang berlaku melibatkan dua buah helikopter yang dipercayai bertembung di udara sebelum terhempas.
Dimaklumkan pihak bomba kini sedang dalam usaha untuk mengeluarkan mangsa terdiri daripada empat individu dimana dua daripadanya maut di tempat kejadian.
Menurut perkongsian pengguna Twitter, cuma sebuah helikopter dengan warna biru yang terhempas sebaliknya helikopter dengan warna merah berjaya mendarat dengan selamat berhampiran padang SJK (Tamil) Taman Melawati.
Helikopter Terhempas: Bomba Sahkan Dua Maut
DUA lelaki maut selepas helikopter yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi helikopter sebelum terhempas di Taman Melawati, Ampang tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor berkata, terdapat empat mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.
“Dua mangsa lelaki tidak sedarkan diri manakala dua lagi selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Ya betul ada terima panggilan daripada orang awam. Saya tak boleh maklum apa lagi,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 11.46 pagi.
“Kemalangan membabitkan dua helikopter bertembung dan terhempas. Dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh petugas St John Ambulans Malaysia.
“Dua lagi mangsa terselamat, terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita,” katanya.
Beliau memaklumkan, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan Ampang dikejarkan ke lokasi untuk kerja menyelamat.
Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter terhempas di kawasan padang berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati.
Dua pesawat berkenaan masing-masing dilaporkan membawa dua individu, termasuk seorang wanita, bertembung sebelum satu daripadanya terhempas.
Menurut perkongsian pengguna Twitter, sebuah helikopter berwarna biru terhempas, manakala helikopter kedua berwarna merah mendarat dengan selamat berhampiran padang Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Melawati.
Sebelum ini, tular beberapa video yang menunjukkan video helikopter tersebut jatuh dalam keadaan yang laju.
Sebuah lagi helikopter yang terlibat dengan kejadian itu juga dikatakan telah berjaya untuk mendarat dengan selamat.
Identiti mangsa maut, terselamat dikenal pasti
Identiti dua mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati di sini pagi tadi, sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, dua mangsa berkenaan adalah Mohd Sabri Baharon, 56, dan Mohd Irfan Mohamed Rawi, 44.
Beliau berkata, dua yang terselamat dikenali sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51.
Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter membawa empat individu, termasuk seorang wanita, didakwa bertembung dengan sebuah helikopter lain lalu terhempas kira-kira jam 11 pagi.
“Dua helikopter ini dari syarikat yang sama dan dipercayai dalam penerbangan dari Subang menuju ke Genting Sempah.
“Siasatan polis setakat ini fokus kepada punca kematian, manakala siasatan punca kemalangan membabitkan dua helikopter akan dijalankan Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” kata Mohamad Farouk pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Katanya lagi, polis kini sedang menyiasat sama ada penumpang lain yang terbabit dalam kejadian ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut.
Menurut perkongsian pengguna Twitter, sebuah helikopter berwarna biru terhempas, manakala helikopter kedua berwarna merah mendarat dengan selamat berhampiran padang SJKT Taman Melawati.
Helikopter Terhempas: Mangsa Terselamat Enggan Diganggu Media
AMPANG JAYA: ‘Taknak.. taknak (enggan diganggu media),” kata Datuk Ahmad Jauhari Yahya, yang mengendalikan salah sebuah helikopter terbabit nahas di Jalan Taman Melawati di sini, pagi tadi.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAS) berkata demikian ketika cuba ditemubual petugas media di lokasi utama nahas berlaku.
Ahmad Jauhari terselamat selepas helikopter dinaikinya bersama Tan Chai Eian, 56, berjaya membuat pendaratan cemas di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati, di sini.
Kira-kira jam 3 petang, beliau dan Chai Eian kemudian dilihat meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan polis.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, polis menerima laporan kejadian daripada orang awam, kira-kira jam 12 tengah hari.
Dalam kejadian itu, dua helikopter yang dalam perjalanan dari Subang ke Genting Sempah dikatakan bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas.
Jurulatih penerbangan, Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56 dan pelatih penerbangan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, disahkan terkorban dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, helikopter dikendalikan Ahmad Jauhari bersama Chai Eian berjaya mendarat cemas.
Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) untuk dibedah siasat.
Setakat jam 4 petang ini, anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan penyiasat daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dilihat masih berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan cuaca ketika ini hujan lebat.
*Sumber: BH Online
Nahas 2 Helikopter, Ini Fakta Mengenai ‘My Heli Club’ Yang Patut Anda Tahu
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai latar belakang helikopter yang terlibat nahas di Taman Melawati, Ampang pada hari ini. Dua helikopter tersebut dipercayai helikopter Guimbal Cabri G2 Rouge dan Bleu buatan Perancis yang dimiliki oleh My Heli Club.
Untuk info, Kapten dan ketua instruktur terbang My Heli Club adalah Komandan (Rtd) Mohamed Sabri Baharom, dan Mohamad Ifwan Rawi. Kedua-dua mereka maut dalam nahas ini. Al-fatihah.
Kapten Ahmad Jauhari Yahya Presiden My Heli Club
Menurut tinjauan Murai MY di Facebook My Heli Club, Presidennya adalah Datuk Ahmad Jauhari Yahya iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS. Dalam nahas ini, Ahmad Jauhari yang memandu helikopter berwarna merah terselamat dalam nahas ini kerana berjaya melakukan pendaratan cemas di sebuah pada sekolah Tamil. Ahmad Jauhari bersama seorang wanita bernama Tan Chai Yan.
Ketika kelab ini dilancarkan pada tahun ini, Ahmad Jauhari berkata, penubuhan kelab ini untuk menawarkan platform untuk mereka ingin menjadi juruterbang helikopter yang diperakui dengan harga yang berpatutan.
Kelab itu, yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, diketuai oleh Ahmad Jauhari dan sebuah jawatankuasa eksekutif yang dianggotai tujuh orang. Ia telah merekrut 28 anggota.
Antara ahli kelab itu adalah kapten senior dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan tenaga pengajar yang disahkan oleh Agensi Keselamatan Kesatuan Eropah. Mereka mempunyai pengalaman latihan yang luas dan memandu helikopter berjam-jam terbang di Malaysia dan di luar negara.
Kelab ini mahu menjadikan penerbangan helikopter lebih selamat dan mudah diakses oleh rakyat Malaysia dan pengalaman di mana kita dapat pergi ke tempat-tempat yang tidak dapat diakses dengan kenderaan jalan raya
Salah satu aktiviti rekreasi kelab ini ialah “Terbang Terbang Cari Makan”, di mana mereka terbang ke Bentong, Pahang, untuk menikmati Lemang To’ki yang popular, Nasi Padang di Tanjung Malim, Perak, makanan laut segar di Lumut, serta mengunjungi ladang dan dusun di Perlis dan Yong Peng, Johor.
Ahmad Jauhari berkata, kelab itu, pada 19 Ogos tahun lalu telah mendapat kelulusan dari CAAM untuk menawarkan program latihan penerbangan helikopter ‘Lesen Juruterbang Swasta [PPL (H)] ‘ kepada ahli.
Helikopter Cabri G2 Rouge dan Bleu, yang dimiliki oleh kelab mempunyai ciri keselamatan yang canggih dan sangat sesuai untuk melatih juruterbang baru. Program latihan helikopter dengan kos sekitar RM180,000 setiap pelajar.
Difahamkan program latihan kelab itu dianggap berpatutan dan setelah memperoleh lesen, anda diminta terbang tiga kali setiap tiga bulan. Menyewa helikopter untuk terbang berharga kira-kira RM2,500, dan anda dapat berkongsi dengan empat orang.
Itulah sedikit info mengenai My Heli Club yang tidak sangka terlibat dalam nahas walaupun baru sahaja ditubuhkan. Walaubagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kita masih menunggu laporan daripada pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
*Sumber: Murai