in , ,

Dengan Sekali Lafaz, Neelofa & PU Riz Kini Sah Jadi Suami Isteri

SELEPAS sekian lama berteka-teki mengenai hari bahagia mereka, akhirnya pasangan selebriti Noor Neelofa dan PU Riz selamat disatukan sebagai suami isteri pada pagi ini. Tahniah dan selamat pengantin baru kami ucapkan buat neelofa dan PU Riz.

Neelofa yang kini berusia 32 tahun, sah bergelar isteri kepada PU Riz atau nama sebenar Haris Ismail berusia 26 tahun , dengan sekali lafaz kira-kira pukul 11.40 pagi, hari ini, Sabtu. Majlis pernikahan mereka diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan kenalan rapat di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh adik Neelofa iaitu Mohamed Aqief Mohd Noor yang berwakil walikan bapa kandungnya dan pengantin perempuan menerima mas kahwin sebentuk cincin.

Pasangan pengantin itu meluahkan rasa syukur majlis akad nikah mereka berjalan dengan lancar dan berharap perkahwinan mereka menjadi satu ikatan abadi.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” ujar Neelofa dan Haris.

Turut hadir ahli keluarga Neelofa iaitu Datuk Halim Khan dan Datin Noor Kartini serta ahli keluarga Haris, Datuk Seri Ismail Nobat dan Datin Seri Normah Johar. 

Sejak awal minggu ini, satu demi satu petunjuk muncul bagi menguatkan khabar angin mengenai perkahwinan pasangan berkenaan yang dikatakan berlangsung dalam masa terdekat. Bermula hari Selasa, muncul dakwaan seorang individu kononnya melihat Riz sedang membelek sampin songket di sebuah kedai.

Ia terus menjadi perbualan hangat netizen di media sosial selepas Neelofa pula pada Rabu lalu memuat naik tiga potongan doa meminta orang ramai mendoakan urusannya dipermudahkan. Kemudian pada Khamis, inai pada jari tangan kirinya kelihatan seperti kebiasaan dipakai oleh bakal pengantin baharu.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 2 November lalu dalam sebuah majlis tertutup hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

Pada Disember tahun lalu, Neelofa dalam kenyataannya menafikan dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan dengan Riz dan dinikahkan bapa kandungnya di Kelantan. Neelofa turut menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya dia terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah wang kepada pendakwah muda itu.

Kisah hubungan cinta pasangan ini mendapat perhatian ramai apabila Neelofa dikatakan tidak lagi memakai cincin merisik pemberian keluarga Riz.

Bagaimanapun pada awal tahun ini, Neelofa dilihat memakai semula cincin terbabit di jari manisnya sekaligus membuktikan hubungan cinta mereka masih berada dalam keadaan baik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Spekulasi Terjawab, Akhirnya Neelofa & PU Riz Nikah Pagi Ini di Majlis Tertutup

Terbaik Tribute P.Ramlee Khas Hari RTM Ke-75